Langgan newsletter kami!
Anugerah Juara Lagu

31 Trivia Menarik Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3

Bahang Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 semakin terasa. Pastinya para peminat muzik tanah air tidak sabar-sabar menantikan detik ‘pertarungan sengit’ di antara 12 yang tersenarai dan lagu manakah yang akan dinobatkan sebagai lagu terbaik? Menariknya, AJL 31 kali ini mengetengahkan tema ‘Cerita Dalam Lagu’ bagi memberikan penghormatan kepada penulik lirik.

Bakal diadakan pada di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), program itu akan disiarkan secara langsung pada 22 Januari 2017 (Ahad) ini menerusi TV3 bermula 9.00 malam. Pertandingan berpretij itu menampilkan Fara Fauzana, Fizi Hot FM, Awal Ashaari dan Sarimah Ibrahim sebagai pengacara.

Berikut kami kongsikan dengan anda tentang 31 trivia dan fakta menarik Anugerah Juara Lagu (AJL) sejak diperkenalkan pada tahun 1986.

  1. Orang awam diberi mandat memilih calon lagu menerusi akhbar harian tempatan untuk mengundi lagu yang layak menjadi juara bulanan dan ke peringkat akhir di peringkat awal penganjuran Anugerah Juara Lagu sehingga 1991.
  2. Ramai personaliti popular negara yang pernah menjadi pengacara AJL termasuklah Abas Bakar, Karim Muhammad, Noor Kumalasari, Charmaine Augustine, Azwan Ali, Aznil Nawawi, Fauziah Ahmad Daud, Melissa Saila, Salih Yaacob, Sarimah Ibrahim, Aidiel Abu Ghaffar, Intan Suraya, N.D. Lala, Shamsul Ghau Ghau, Anne Hamid, Ary Malik, Ally Iskandar, Faizal Ismail, Fara Fauzana, A.G, Scha Al Yahya, Fizi Hot FM dan Awal Ashaari.
  3. Pengacara AJL paling banyak menjadi milik Azwan Ali dan Cheryl Samad iaitu enam kali.
  4. Najib Ali merupakan satu-satunya pengacara AJL yang berasal daripada Singapura.
  5. Selain Stadium Putra, Bukit Jalil, pihak produksi turut menggunakan Dewan San Choo di Wisma MCA, Kuala Lumpur Auditorium Besar Angkasapuri RTM, Sri Pentas 2 dan Dewan Bandaraya Shah Alam, dan Dewan Merdeka, PWTC sebagai lokasi kemuncak AJL.
  6. Lokasi kemuncak AJL yang paling kerap digunakan ialah Dewan Merdeka, PWTC iaitu 15 kali diikuti Stadium Bukit Jalil sebanyak 9 kali.
  7. Kategori Lirik Terbaik diperkenalkan pada 1986 kemudiaannya tidak dipertandingan mulai tahun 1993.
  8. Format Juara Lagu diubah sepenuhnya buat pertama kalinya mulai tahun 1992 dimana TV3 memperkenalkan format pembahagian lagu mengikut kategori iaitu Irama Malaysia, Pop Kreatif dan Rock.
  9. Pengenalan kategori kali pertama ini menyaksikan lagu Pada Syurga Di Wajahmu (Nash), Yang Remeh Temeh (Pak Pandir) dan Di Alam Fana Cinta (Fotograf) menjadi pemenang pertama menerusi kategori Pop Kreatif, Irama Malaysia dan Rock.
  10. Pada tahun 1993, kategori Pop Kreatif dan Rock ditukar kepada Balada dan Pop Rock.
  11. Pada tahun 2000, kategori Etnik Kreatif diperkenalkan menggantikan Irama Malaysia yang sebelum ini menjuruskan kepada lagu-lagu berirama tradisional.
  12. Enam buah kumpulan yang pernah menjuarai AJL iaitu kumpulan Search menerusi lagu Isabella (1989), Mega (Takdir Dan Waktu/1991), Spider (Relaku Pujuk/2004), Estranged (Itu Kamu/2007), Meet Uncle Hussain (Lagu Untukmu/2008) dan Akim & The Majistret (Potret/2015).
  13. Sebanyak tiga pasangan duet atau duo yang pernah memenangi AJL iaitu Datuk M.Nasir dan Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah (1997), Ajai dan Nurul (Keliru/2002) dan gandingan Joe Flizzow dan Sonaone (Apa Khabar/2014).
  14. Aubrey Suwito menjadi komposer bukan Melayu pertama yang memenangi AJL20 (2005) menerusi lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor.
  15. Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza merupakan penyanyi yang berjaya menjauarai AJL sebanyak tiga kali iaitu Jerat Percintaan pada tahun 1996, Cindai (1998) dan Balqis (2000).
  16. Anugerah Persembahan Terbaik pertama kali dimenangi oleh kumpulan Alleycats menerusi lagu Sampaikan Salam Cintaku pada tahun 1996.
  17. Anugerah Vokal Terbaik yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2002 menyaksikan penyanyi bersuara gemersik, Liza Hanim memenanginya menerusi lagu Gelisah Mimpi. Misha Omar (Bunga-Bunga Cinta/2003 dan Pulangkan/2004), Hazami (Kata/2005), Adibah Noor (Terlalu Istimewa/2006), Jaclyn Victor dan Lah Ahmad (Ceritera Cinta/2007), Faizal Tahir (Sampai Syurga/2008), Black (Aku Rindu Sayang Kamu/2009), Hafiz Suip(Noktah Cinta/2010, Awan Nano/2011 dan Ku Akui/2013, Jaclyn Victor (Ikut Rentakku/2013), dan Dayang Nurfaizah (Di Pintu Syurga/2014 dan Tak Pernah Menyerah/2015).
  18. Datuk Siti Nurhaliza turut mencipta rekod tersendiri apabila memenangi lima kali bagi kategori Persembahan Terbaik di AJL iaitu Jerat Percintaan (1996), Aku Cinta Padamu (1997), Ya Maulai (2001), Nirmala (2002) dan Ku Milikmu (2004) diikuti Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang memenangi sebanyak empat kali iaitu Dikir Puteri (1998), Dondang Dendang (1999), Ngajat Tampi (2000) dan Hatinya Tak Tahan (2004).
  19. Satu satunya kategori yang belum pernah Datuk Siti Nurhaliza menangi adalah Vokal Terbaik sejak dipertandingkan pada tahun 2002.
  20. Mulai 2009, format AJL kembali kepada formal asal iaitu tiada kategori.
  21. AJL juga tidak terlepas daripada penyanyi gantian yang menggantikan penyanyi asal lagu yang dipertandingkan. Antaranya lagu Angan-Angan (Nyanyian asal: Raja Ema dan telah digantikan oleh kumpulan Skyfire/1987), Kau dan Aku (Nyanyian asal: Ning Baizura dan telah digantikan oleh kumpulan Kool/1995), Izinku Pergi (Nyanyian asal: Kaer Azami dan telah digantikan oleh Sahri/2008) dan Terukir Di Bintang (Nyanyian asal: Yuna dan telah digantikan oleh Aizat Amdan/2012).
  22. Lagu ‘Terukir Di Bintang’ nyanyian Yuna merupakan satu-satunya lagu yang dinyanyi oleh penyanyi gantian yang memenangi AJL.
  23. Kumpulan muzik yang kerap ke pusingan akhir AJL dengan empat kali penyertaan ialah Exist dan Bunface.
  24. Penyanyi bukan Melayu yang pernah ke peringkat akhir AJL adalah Alleycats, Ben Nathan, Francesca Peter, Casey, Jaclyn Victor, Vince, Stacy, Jimmy Palikat dan Elizabeth Tan.
  25. Datuk M. Nasir merupakan komposer pertama yang memenangi AJL sebanyak empat kali dengan tiga lagu dinyanyikan sendiri iaitu menerusi lagu Tanya Sama Itu Hud Hud (1994), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Andalusia (1999) dan nyanyian penyanyi lain iaitu Awan Nano (2011) yang dinyanyikan oleh Hafiz.
  26. Penulis lirik tersohor, Habsah Hassan merupakan penulis lirik yang paling banyak dicalonkan dalam sejarah AJL.
  27. Untuk rekod, Stacy ialah penyanyi yang paling kerap ke pentas akhir iaitu tujuh kali penyertaan tanpa sebarang kemenangan.
  28. Pelantun lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif merupakan penyanyi solo termuda yang menyertai AJL 2011 iaitu pada usia 16 tahun.
  29. AJL juga pernah menerima juri-juri professional dari luar negara seperti Indonseia, Singapura, Filipina dan Jepun. Antaranya, komposer Indonesia, Erwin Gutawa dan Arie Wibowo, Makuto Kubota (Jepun) dan Vehne Saturno (Filipina)
  30. AJL turut ditaja oleh syarikat-syarikat besar tempatan seperti Telekom Malaysia, Maxis, Celcom dan Vida Beauty (Pamoga QuPuteh).
  31. Dalam memberi kelainan, pihak produksi akan mengangkat satu tema bagi memeriahkan AJL saban tahun. Antaranya Cerita Dalam Lagu (AJL 31), 3 Dekad Mencipta Fenomena (AJL 30), Gema Dalam Muzik (AJL 29), Game On (AJL 28) dan Ekspresi Seni (AJL 27).

 

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: