Langgan newsletter kami!
Wajah Gadis Muslimah Heliza Helmi AF

5 Artis Malaysia Yang Berasal Dari Terengganu

Tahukah anda, terdapat ramai lagi selebriti terkenal negara yang merupakan anak jati negeri Terengganu selain pelawak dan pengacara hebat, Zizan Razak.

Berikut, penulis berkongsi dengan anda tentang lima artis Malaysia yang berasal dari negeri penyu bertelur. Apa tunggu lagi, jom kita semak!

  1. Emma Maembong

Siapa yang tidak mengenali pelakon jelita, Emma Maembong yang kini hangat diperkatakan bercinta dengan bintang filem Abang Long Fadil dan Gangster Celop, Kamal Adli.

Berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu dilahirkan di dalam keluarga seni. Ayahnya, Ismail Embong atau Maembong merupakan seorang pelukis prolifik dan pakar seni negara. Sementara itu, adik-beradiknya iaitu Yaya dan Cha Cha Maembong merupakan pelakon yang tidak kurang hebatnya di tanahair.

Pelakon kacukan Melayu-Scotland ini mula dikenali menerusi drama bersiri terbitan TV3 berjudul Kau Yang Terindah sekitar tahun 2012. Sejak itu, namanya mula meledak di dalam industri seni tempatan bukan hanya di kaca layar malahan di layar perak.

Antara drama lakonannya ialah Isteri Separuh Masa, Projek Memikat Suami, Kampung Girl, #AssalamualaikumCinta, Kau Yang Terindah dan Sayang Papa Saya Tak?

  1. Sofi Jikan

Mohamad Shoffi Jikan atau nama komersilnya Sofi Jikan merupakan seorang pelakon yang versatil dan berkarisma.

Anak jati Kuala Terengganu ini bukan sahaja dikenali sebagai pelakon handalan negara malahan seorang penulis skrip, pengacara, aktivis teater dan pengarah.

Paling menarik, lelaki berusia 47 tahun berkenaan turut mengembangkan bakatnya sebagai seorang penyanyi apabila menyertai program nyanyian terbitan Astro Ria 104, Gempak Superstar. Menerusi pertandingan itu, Sofi berjaya merangkul tempat keempat dan membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM10,000 dan trofi.

Sepanjang lebih 20 tahun bergelar anak seni, pelakon filem Rock Bro tersebut menjalankan perniagaan dengan menjual minyak silinder atau minyak hitam berjenama Aerorev.

Figura ini juga pernah dinobatkan Watak Penjahat Terhebat untuk filem Jalan Kembali: Bohsia 2 di Anugerah Bintang Blokbuster 2.

  1. Ally Iskandar

Personaliti TV3, Ally Iskandar ini dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Selain Malaysia Hari Ini (MHI) dan Mentor, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem di University of The Pacific, California ini pernah mengacarakan Konsert Jom Heboh, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-20 dan ke-21, ResQ, Singgah Sahur dan Sinaran Pasport Kegemilangan.

Beliau juga pernah beberapa kali dicalonkan dalam Top 5 untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular.

Pernah mendirikan rumah tangga bersama Nurfarahin Romli pada 20 Januari 2012 namun bercerai pada Ogos 2016.

  1. Halim Othman

Jika pernah menonton rancangan Roda Impian sekitar 1996 hingga 2002, pastinya anda mengenali lelaki bernama Halim Othman ini. Pada ketika itu, Halim digandingkan bersama pelakon Gerak Khas, Abby Abadi sebelum digantikan dengan Eja.

Figura kelahiran Kerteh, Terengganu tersebut memulakan kerjaya sebagai pengacara Selamat Pagi Malaysia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1993 sebelum dikenali sebagai juruhebah radio popular.

Untuk rekod, Halim pernah dinobatkan mengungguli Anugerah Penyampai Radio Popular sebanyak empat kali di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Beliau kini merupakan penyampai radio di Suria.FM dan mengendalikan segmen Ceria Pagi bersama Zulin Aziz dan Fizi Ali.

  1. Heliza Helmi

Selepas menyertai Akademi Fantasia Musim Ke-5 (AF5), Heliza Helmi atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi lebih menyinar dalam bidang pengacaraan berbanding seni suara.

Antara rancangan televisyen yang dikendalikannya seperti SIS (TV9), Salam Baitullah 2016, Rasa Halal Antarabangsa dan Anugerah Nasyid IKIM.FM

Selain pengacaraan, wanita kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini kini bergelar seorang ahli perniagaan dan penceramah bebas.

Pelantun lagu Doa Dalam Lagu (duet bersama Mawi) ini turut dilantik menjadi duta kepada Aman Palestin dan merupakan salah seorang artis yang lantang memperjuangkan isu ummat Islam.

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: