Langgan newsletter kami!
Penyanyi Hafiz Suip

5 Artis Popular Malaysia Yang Berasal Dari Sarawak

Masih ingatkah artis dan selebriti popular Malaysia yang berasal dari Felda, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah yang telah disenaraikan oleh penulis sebelum ini?

Untuk kali ini, penulis kongsikan kepada anda mengenai artis popular Malaysia yang berasal dari negeri Sarawak. Penasaran? Take a look!

Gambar Dayang Nurfaizah1. Dayang Nurfaizah

Siapa yang tidak mengenali dengan artis yang mendapat jolokan ‘Beyonce Malaysia’ iaitu Dayang Nurfaizah atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty.

Pelbagai kejayaan luar biasa telah dilakar oleh anak jati Kuching, Sarawak ini. Antara yang terkini adalah, pemenang Anugerah Juara Lagu 32 menerusi lagu Lelaki Teragung, Anugerah Lagu Global Pilihan menerusi lagu Erti Hidup di Anugerah ERA 2011 dan Juara Bintang Penghibur HMI 2000.

Lagu-lagu hitsnya seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu, Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung berjaya memikat para pendengar tempatan serta pernah menjuarai carta di radio popular kerajaan dan swasta.

2. Faye Khusairi

Tidak dinafikan pelakon bernama Faye Khusairi ini berbakat besar dalam bidang lakonan. Sama ada baik ataupun antagonis, artis kelahiran Miri, Sarawak ini pasti berjaya menjiwai watak berkenaan sehingga memberi impak kepada penonton.

Drama-drama yang mengangkat namanya di persada seni tempatan seperti Istikharah Cinta, Ammara Batrisya, Misiku Kuza dan 7 Hari Mencintaiku.

Mengenakan hijab sepenuhnya pada tahun 2016, figura cantik manis ini turut aktif dalam sukan bermotor seperti car drift, bot laju dan jet ski.

Hafiz Suip Semakin Kurus3. Hafiz Suip

Selepas menjuarai Akademi Fantasia (AF) 7, nama Hafiz Suip mekar mengharum di seluruh pelosok tanah air. Dengan suara yang kekal bertenaga dan mantap, tidak hairanlah banyak lagu nyanyiannya mengungguli carta selama berbulan-bulan.

Antara lagu popularnya yang menjadi siulan para peminat muzik tanah air seperti Masih Jelas, Awan Nano, Bahagiamu Deritaku, Ku Akui, Muara Hati (duet dengan Datuk Siti Nurhaliza), Salahkah (duet dengan Datuk Rossa) dan Ombak Rindu (duet dengan Adira).

Sepanjang bergelar anak seni, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini pernah dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, 2012 dan 2013, Power Vocal Award di Shout! Award 2013, Anugerah Duo/Kolaborasi Terbaik dan Lagu Serantau Paling Popular menerusi lagu Muara Hati di Anugerah Planet Muzik (APM) 2013 dan banyak lagi.

Paling manis, Hafiz Suip telah menamatkan zaman solonya dengan gadis pilihan hati iaitu Nureffy Jasreel pada 14 Mei 2016.

Gambar Bob Yusof4. Bob Yusof

Dikurniakan suara yang merdu, bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) 2 bernama Bob Yusof ini merupakan selebriti Malaysia yang serba boleh. Cinta Terhalang dan Cinta Seorang Teman merupakan antara lagu popularnya.

Bob atau nama lengkapnya Yusrizan Usop pernah diberikan penghormatan untuk menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaaan Malaysia 2014 iaitu Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.

Selain jaguh bernyanyi, anak jati Limbang, Sarawak ini juga berbakat dalam bidang lakonan. Bintang filem Cinta Kura-Kura ini turut menjalankan perniagaan iaitu produk minuman malt coklat ReeVo dan produk penyegar wajah berjenama Makayla.

Foto Penyanyi Rem (Ramzani Kassim)5. Rem

Menyertai program Gegar Vaganza (GV) 2016 yang lalu sedikit sebanyak mengangkat kembali nama Ramzani Kassim atau nama pentasnya Rem. Walaupun tersingkir di minggu ketiga, Rem tetap optimis ingin melonjakkan kembali namanya di persada seni negara.

Berasal dari Sibu, Sarawak, figura berwajah awet muda ini popular dengan lagu Semua Orang Tahu dan Selingkar Kasih. Sebanyak empat buat album dihasilkan sepanjang bergelar penyanyi iaitu REM (1997), Impian Cinta (1999), Setiap Waktu (2002) dan Satu Suara (2004).

Figura bersuara serak basah ini juga pernah berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Antara drama dan telefilem yang dilakonkan olehnya adalah seperti Mak Andam Terlampau, Suria Kasanova dan Pintu Taubat.

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: