Langgan newsletter kami!
Scammer Di Madinah

Berhati-hati Dengan Penipuan di Mekah & Madinah

Buat jemaah yang bakal mengerjakan haji dan umrah di tanah suci Mekah dan Madinah, sila berhati-hati dengan taktik penipuan di Mekah & Madinah. Jangan ingat di Tanah Haram tiada scammer. Jangan anda ingat semua orang di sana berhati suci mulia.

Penipuan ini sememangnya wujud. Tambahan lagi jika anda adalah jemaah dari Malaysia yang sememangnya terkenal dengan sifat murah hati dan selalu membawa duit yang banyak. Pelbagai cara penipuan dilakukan sama ada secara halus atau kasar.

Penipuan Cara Kasar

Cara 1: Beg kita diseluk atau ditoreh dengan pisau sama ada ketika sedang melakukan Tawaf atau Saie. Cara yang dilakukan sememangnya terancang sehinggakan kita langsung tidak sedar. Hasil yang diperolehi juga agak lumayan sehingga mencecah ribuan. Itu belum lagi ditambah dengan barang lain seperti telefon bimbit dan barang kemas. Kebiasaannya kaum wanita yang lebih banyak menjadi mangsa.

Cara 2: Scammer menjadi pengiring kononnya memudahkan laluan untuk kita mencium Hajarul Aswad. Kebanyakan taktik ini dilakukan oleh orang Indonesia. Mereka akan menghimpit kita dan bertanya “pak, mau cium Hajarul Aswad?” Jika kita mahu, mereka akan minta bayaran 400 Saudi Riyal, malahan bayarannya boleh mencecah sehingga 1,000 Riyal! Mereka sebenarnya akan bawa kita separuh jalan sahaja kemudian hilang tanpa dikesan.

Cara 3: Berhati-hati apabila membuat bayaran menggunakan duit 10 Riyal dan 100 Riyal. Ini kerana duitnya berwarna merah dan mudah tersilap jika tidak teliti. Pengalaman saya ialah pernah ternampak jemaah wanita tua sedang membeli air mineral berharga 1 riyal dan membayar dengan duit 100 riyal. Sepatutnya baki yang dipulangkan adalah 99 Riyal, tetapi dipulangkan baki 9 riyal saja. Kemudian makcik tu bertanya penjual “Saya bagi 100 riyal”, tetapi penjual beritahu makcik hanya beri 10 riyal, lalu diangkatnya note 10 Riyal. Makcik tersebut seolah-olah tergamam dan bingung. Hakikatnya saya sendiri yang melihat makcik tersebut membayar dengan duit 100 riyal. Jadi berhati-hatilah dengan penjual foodtruck di Jabal Rahmah ini.

Cara 4: Wanita arab yang berjubah hitam dan meminta sedekah di sekitar Masjidil Haram (terutama laluan ke Menara Jam) sebenarnya ramai yang terdiri dari penipu profesional. Mereka mempunyai seribu satu helah, siap dengan drama dan watak-watak pelakon sampingan lagi. Jadi awas dan jangan cepat melatah serta bermurah hati sangat. Sekali kita bagi, habis kita akan dikerumun oleh “mereka” semua.

Cara 5: Para pemandu teksi pun ada juga helah tipu daya. Contoh, pada awalnya kita sudah setuju dengan harga dari airport Jeddah ke Hotel di Mekah dengan harga 200 Riyal. Tetapi apabila sampai di Mekah mereka akan buat-buat pusing berulang-ulang kali seolah-olah sedang mencari arah hotel. Kesudahannya mereka akan minta bayaran ihsan tambahan sebanyak 50 Riyal disebabkan sesat jalan. Cadangan saya untuk mengurangkan penipuan sebegini adalah lebih baik anda ambil servis GRAB car.

Penipuan Cara Halus

Penipuan halus pula adalah lebih menjurus kepada psikologi.

Saya sendiri pernah ditipu sacara halus semasa di Mekah (berdekatan pintu 17). Saya didatangi oleh seorang lelaki Pakistan (dapat dicam dengan cara pemakaian kurta putih dan berseluar putih). Dia menarik saya ke tepi dan bermulalah cerita sedihnya yang dia kena seluk, duit dicuri, pasport hilang, mak dia sakit (nanti dia akan tunjuk seorang perempuan tua yang sedang baring untuk memberikan keyakinan tentang ceritanya).

Dia akan minta duit 500 Riyal untuk kos perubatan mak dia dan duit untuk makan minum. Saya sudah dapat mengagak penipuan ini, jadi saya beritahu yang saya tiada duit dan terus beredar.

Selepas itu, saya terus intai dia dari jauh dan dia sedang mencari mangsa yang lain. Ternyata mangsa keduanya berjaya dan dia ambil kesemua duit mangsa semasa mangsa sedang asyik mengira duit.

Saya dapati kebanyakan mangsa scam ini adalah jemaah umrah dan haji rakyat Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Mungkin sikap jemaah kita yang sememang suka bersedekah menjadikan kita easy target.

Kesimpulan

Jadi inilah beberapa jenis penipuan yang ada di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Pendapat saya, jika hendak bersedekah, sedekahlah kepada tukang sapu sampah di dalam atau di luar Masjid. Selagi namanya manusia berhati-hatilah dengan langkah dan gerak. Jemaah juga diingat untuk bawa duit yang sedikit dan mencukupi sahaja jika ke masjid.

Jika mahu bershopping, baliklah dulu ke hotel untuk mengambil duit lebih yang kita simpan di bilik. Jika bawa duit yang banyak boleh juga minta tolong mutawwif untuk simpan bagi pihak kita.

Semoga bermanfaat dan jadi panduan buat kita semua.

Kredit: FB Rahsia Wajah Cantik

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: