Langgan newsletter kami!

Ciri-ciri Autisme Pada Kanak-kanak Yang Perlu Diawasi

Autisme adalah gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada kanak-kanak, yang mana gejalanya sudah timbul sebelum anak itu mencapai usia tiga tahun. Penyebab autisme adalah gangguan neurobiologis yang menjejaskan fungsi otak sehingga kanak-kanak itu tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara berkesan. Tidak seperti masalah Sindrom Down, ciri-ciri autisme kebanyakannya tidak dapat dikesan sebelum, semasa atau selepas proses kelahiran. Ini kerana penghidap autisme selalunya tidak akan menunjukkan sebarang tanda-tanda kelainan mereka pada awal usia mereka. Ciri-ciri autisme cuma akan mula kelihatan apabila kanak-kanak itu berusia 18 bulan ke atas.

Tanda yang paling menonjol adalah sikap kanak-kanak itu sendiri yang cenderung untuk tidak mempedulikan persekitaran dan orang-orang di sekitarnya, seolah-olah menolak komunikasi dan interaksi, serta hidup dalam dunianya sendiri. Anak autistik juga mengalami kesukaran dalam memahami bahasa dan berkomunikasi secara lisan. Di samping itu, dari segi tingkah laku, mereka seringkali (prilaku stimulasi diri) seperti berputar-putar, mengepak-ngepakkan tangan seperti sayap, berjalan berjinjit dan sebagainya.

Gejala autisme sangat berbeza di antara satu dengan yang lain. Sebahagian kanak-kanak berkelakuan hiperaktif dan agresif atau menyakiti diri sendiri, tapi ada pula yang tersangat pasif. Mereka cenderung dan sangat sulit mengendalikan emosinya dan sering temper-tantrum (menangis dan mengamuk). Kadang-kadang mereka menangis, ketawa atau marah-marah tanpa sebab yang jelas. Selain berbeza dalam jenis gejalanya, tahap gejala autisme juga berbeza-beza, dari kategori sangat ringan hingga ke sangat berat. Oleh kerana banyaknya perbezaan di antara individu, maka saat ini gangguan perkembangan ini lebih sering dikenali sebagai Autistic Spectrum Disorder (ASD) atau Gangguan Spektrum Autistik (GSA).

Menurut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), setiap 1 daripada 150 kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia memiliki autisme dan dianggarkan 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidapinya. Ada antara mereka memiliki tanda-tanda masalah autisme kronik dan ada yang baru sahaja di peringkat awal.

Ciri-ciri Autisme Yang Patut Diawasi Ibu Bapa

Pengesanan awal autisme dapat dilakukan semasa proses pembesaran bayi tersebut. Secara ringkasnya, tanda-tanda, ciri-ciri dan simpton awal autisme adalah:

  • Tidak gemarkan susu ibu. Mereka akan menolak atau menangis sekiranya ibu mereka cuba untuk menyusui mereka.
  • Mengalami masalah untuk tidur dan sering terjaga pada malam dan mula menganggu orang lain di sekitarnya.
  • Tidak menunjukkan minat terhadap cahaya matahari, bunyi atau sebarang pergerakan yang berlaku berhampiran mereka.
  • Tidak mengenali ibu bapa seperti kanak-kanak lain. Bagi mereka, semua orang sama sahaja.
  • Tidak menunjukkan sebarang minat kepada barang mainan seperti kanak-kanak lain yang sebayanya.
  • Tidak menunjukkan tindak balas terhadap orang dewasa.
  • Lebih suka bermain secara bersendirian berbanding bermain bersama kawan-kawan sebaya.
  • Tidak takut apabila ditinggalkan berseorangan.
  • Tidak suka kepada sentuhan. Sekiranya disentuh, mereka tidak selesa dengan sentuhan tersebut dan akan cuba mengeraskan badan.
  • Lebih berminat kepada benda-benda pelik seperti suis lampu, pita rakaman, benda yang berpusing ataupun barangan elektrik.
  • Gemar menggunakan tangan sebagai alat untuk menyampaikan sesuatu berbanding menyampaikan menggunakan lisan.

Tanda-tanda lain yang mungkin berlaku pada kanak-kanak autisme adalah:

  • Kesukaran berinteraksi yang merupakan antara tanda paling utama dalam autisme. Ibu bapa biasanya akan menyedari masalah autisme di dalam diri anak mereka melalui gejala ini. Seawal bayi lagi, kanak-kanak yang mempunyai masalah autisme tidak memberi respon atau fokus kepada sesuatu benda dalam jangka masa yang lama.
  • Gagal memberi respons apabila namanya dipanggil atau ditanyakan soalan walaupun ianya mudah. Ini disebabkan oleh mereka gagal untuk menafsir maklumat yang diterima dan tidak tahu bagaimana untuk membalasnya secara lisan. Mereka kelihatan sama seperti kanak-kanak yang normal namun sebenarnya mempunyai kekurangan dalam komunikasi sosial.
  • Tidak mencapai tahap perkembangan tepat pada waktu. Setiap kanak-kanak berkembang secara berbeza. Beberapa kanak-kanak akan merangkak pada usia empat bulan sementara yang lain tidak boleh, sehinggalah beberapa bulan lebih tua. Ini sebenarnya adalah normal. Masalah bermula apabila setiap tonggak terlalu jauh lebih lambat dari kebiasannya.
  • Anak tidak berbicara. Kanak-kanak belajar bercakap pada usia yang berbeza. Kebanyakan kanak-kanak akan mengatakan beberapa patah perkataan pada saat mereka berusia 16 bulan. Jika anak anda tidak melakukannya segeralah hubungi doktor.
  • Tiada hubungan mata (eye contact). Kebanyakan bayi dan kanak-kanak akan melihat anda ketika anda bercakap dengan mereka. Anak-anak autis sering tidak memberikan hubungan mata. Mereka tidak akan mengarah ke objek. Mereka tidak akan melihat sesuatu yang anda cuba untuk tunjukkan kepada mereka.
  • Tidak menunjukkan emosi. Anak-anak autis sering tidak menunjukkan emosi apapun. Mereka tidak tersenyum kembali apabila seseorang tersenyum pada mereka. Mereka tidak menunjukkan peduli ketika seseorang di sekitar mereka mengekspresikan rasa sakit atau menangis. Anak autis biasanya tidak suka dipegang atau dipeluk.
  • Suka bermain sendiri. Anak autis biasanya akan bermain sendiri. Mereka merasa lebih selesa sendiri dan seakan-akan hidup dalam dunianya sendiri. Mereka mempunyai masalah untuk mencari kawan. Mereka tidak tahu bagaimana hendak berhubungan dengan kanak-kanak lain. Mereka tidak mengerti ketika kanak-kanak lain bergurau dengan mereka.
  • Apabila mereka mempunyai kekurangan dalam komunikasi sosial, bermain dalam kumpulan adalah aktiviti yang paling tidak disukai mereka. Mereka lebih suka berada di dalam ‘dunia’ mereka sendiri dan kadangkala ketawa dan mencederakan diri sendiri tanpa sebab. Apabila ditegur untuk berhenti, mereka akan bertindak agresif kerana tidak sukakan sebarang perubahan tingkahlaku dengan segera.
  • Kehilangan kemahiran untuk mengetahui (explore). Kanak-kanak autis mungkin telah belajar untuk bercakap dan kemudian kelihatan seolah-olah mereka lupa bagaimana. Mereka boleh belajar kemahiran baru dan seminggu kemudian tidak tahu bagaimana melakukannya. Kanak-kanak autis sering kehilangan kemahiran yang telah mereka pelajari.
  • Tidak sukakan perubahan sama ada drastik atau tidak terutama yang akan mengubah emosi mereka. Perbuatan menggunakan tandas atau pergi ke sekolah adalah perkara yang sukar bagi mereka. Rata-rata anak yang menghidapi autisme masih menggunakan pampers di usia 5-6 tahun disebabkan mereka gagal untuk ke tandas dengan sendirinya.
  • Uniknya pula, ada sebahagian mereka yang kurang sensitif kepada rasa sakit namun mereka lebih sensitif kepada bunyi, sentuhan serta sensori deria rasa. Sifat sensitiviti mereka yang kuat ini merupakan jawapan mengapa mereka yang tidak mahu dirangkul atau dipeluk.

autism awarenessKesimpulannya, autisme boleh terjadi kepada sesiapa saja, tanpa mengira warna kulit, status sosial ekonomi mahupun pendidikan seseorang. Tidak semua individu ASD/GSA memiliki IQ yang rendah. Sebahagian dari mereka dapat mencapai pendidikan di peringkat tinggi. Bahkan ada juga yang mempunyai kemampuan luar biasa di bidang tertentu seperti muzik, matematik dan sebagainya. Kajian mendapati, dianggarkan 75 peratus kanak-kanak autisme mengalami masalah kerencatan akal daripada peringkat ringan hingga serius. Manakala 25 peratus daripadanya memiliki IQ seperti kanak-kanak biasa lain.

Sekiranya ada dalam kalangan anda yang mempunyai anak-anak autisme, ia tidak perlu berakhir dengan kekecewaan. Ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa bersama mereka yang sabar. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153:

Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: