Langgan newsletter kami!
Ubat Untuk Kesihatan

Kesihatan Kini Dijual

Banyak tips dikemukakan oleh pengeluar dan pencipta alat kesihatan. Kesihatan kini perlu dibeli. Produk kesihatan makanan, peralatan bersenam, kekuatan tenaga zahir dan batin dan sebagainya. Umumnya masyarakat kita kini semakin mementingkan kesihatan. Suatu pandangan yang bijak dan berwawasan.

Namun begitu, mengapakah mereka sakit? Tidak difikirkan atau bertanya kepada diri mereka sendiri. Siapakah atau dari manakah datangnya punca penyakit. Punca yang utama ialah persekitaran kita yang semakin tercemar. Yang kedua ialah pemakanan kita yang tidak seimbang serta tidak memenuhi keperluan tubuh badan seseorang sehingga kurang daya tahan penyakit.

Tuhan menjadikan tubuh manusia cukup sempurna melawan penyakit daripada luar. Jika kita perhatikan apabila tubuh kita terluka atau berdarah akibat kemalangan, darah yang keluar akan membeku dengan pantas sehingga menutup ruang luka secara automatik. Tidak perlu seorang doktor datang menuntup luka itu dengan satu mekanisma lain. Jika luka itu tiada terkena kuman atau benda asing lain, luka itu akan sembuh dengan sendirinya. Ajaib dan begitulah hebatnya tubuh badan kita merawat dirinya sendiri. Jadi apa perlunya pelbagai produk kesihatan yang melambak di pasaran?

Bukan menafikan kemajuan teknologi dan penghasilan pelbagai produk kesihatan. Jika kita berfikir dan bertindak dengan cermat menggunakan akal yang waras kita dapat mengatasi atau mengurangkan masalah kesihatan yang melanda seseorang. Soalan pencemaran yang menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit tidak dapat kita elakkan. Siapa kata? Siapa yang menyebabkan pencemaran tersebut? Adakah pencemaran berlaku secara semula jadi atau kehendak Tuhan. Siapakah yang melakukan pencemaran? Bukankah Allah telah berfirman dalam surah berikut:

Ertinya: “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). Katakanlah (Muhammad), Bepergianlah di bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).”
(Q.S. Ar Rum (30) : 41-42

Sudah terang lagi bersuluh, jika pencemaran menyebabkan kesihatan kita terganggu, maka kita atasi pencemaran dahulu. Jangan biarkan pencemaran berlaku walau di mana kita berada. Mustahil penyakit bawaan parasit seperti tikus dan sebagainya berada di sekitar rumah dan persekitaran kita jika rumah kita tidak tercemar dengan sampah sarap yang mengundang kehadiran binatang tersebut. Jangan buang sampah merata-rata walaupun ada yang mengutipnya. Allah datangkan tikus yang membawa penyakit demi mengingatkan manusia supaya jangan melakukan pencemaran dan menjaga kebersihan.

Pencemaran asap kenderaan sehingga menyebabkan masalah pernafasan. Pencemaran alam sekitar akibat pembakaran hutan sehingga menghasilkan fenomena jerebu. Bukan sedikit kos yang perlu ditanggung akibat pencemaran yang membawa pelbagai penyakit kepada manusia. Semuanya berpunca daripada kegagalan manusia itu menguruskan cara memacu teknologi dan kemajuan dengan cara yang betul.

Siapa yang meminum air dengan memasukkan racun ke dalam minuman mereka sendiri? Manusia itu juga. Gula yang diketahui mempunyai dua elemen iaitu sukros dan glukos, salah satunya membawa penyakit seperti diabetis dan sebagainya. Mengapa masih dengan sengaja membubuh penyakit dalam minuman kita. Kita mahu minum teh atau gula sebenarnya? Kita ketagih teh atau ketagih gula? Jika kita tidak minum teh atau kopi bergula badan kita rasa letih, kita ketagih gula yang di dalam minuman kita. Apabila mendapat kencing manis, kita terpaksa mencari ubat atau produk yang melambak dijual di pasaran. Jika sudah sakit atau parah, memang sangat sukar diubati. Mencegah lebih baik daripada merawat.

Produk kesihatan seperti peralatan senaman dan sebagainya juga tidak perlu jika kita faham bagaimana tubuh badan kita berfungsi. Kecualilah seorang ahli bina badan atau atlet yang kerjaya mereka mahukan tubuh yang sasa, mereka memerlukan sebagai kerjaya dan cara mereka mencari makan. Seorang peladang kelapa sawit di kampung mempunyai otot dan bentuk tubuh badan yang lebih cantik dan menghairahkan jika dibandingkan dengan seorang pegawai eksekutif bertali leher di pejabat. Mengapa? Peladang tersebut faham bagaimana tubuhnya berfungsi dengan mengeluarkan peluh, bekerja mengangkat beban yang sesuai dengan tubuh mereka dan sentiasa aktif ke ladang. Mereka tidak perlukan mesin atau produk gym yang beratus ribu ringgit. Mereka kelihatan lebih macho jika mengenakan suit jika ke majlis berbanding pegawai eksekutif yang berperut boroi. Sekadar contoh!

Jelas kepada kita di sini, isu kesihatan adalah bagaimana kita menguruskan kesihatan kita bukan banyak mana kita berhabis membeli produk kesihatan dan pelbagai peralatan menjaga kesihatan. Pihak pengeluar produk kesihatan jangan terasa pula.

Print Friendly, PDF & Email

About Cikgu Salleh

Seorang guru yang berpengalaman luas dalam menulis buku kerja sekolah, cerpen, puisi dan novel. Pernah memenangi Anugerah Sastera Johor 2016 (Puisi Siber).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: