Langgan newsletter kami!
Kedai Koperasi 1Malaysia

Maksud Koperasi dan Panduan Penubuhannya

Sejak dari zaman sekolah lagi, perkataan koperasi bukanlah asing dalam diri kita. Setiap hari kita membeli barang keperluan dan makanan ringan dari koperasi sekolah. Tetapi tahukah kita maksud koperasi yang sebenar dan kenapa ianya ditubuhkan?

 

Maksud Koperasi

Koperasi adalah pertubuhan manusia yang berautonomi di mana anggotanya bersatu secara sukarela demi mencapai kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya, melalui suatu badan yang dimiliki bersama dan terkawal secara demokrasi.

Jadi, daripada takrifan di atas, koperasi sekolah boleh ditafsirkan sebagai koperasi yang didirikan di dalam lingkungan sekolah yang mana anggota-anggotanya terdiri daripada guru dan pelajar sekolah. Begitu juga dengan koperasi pekerja yang dianggotai oleh pekerja di sesuatu jabatan atau syarikat dan juga koperasi surau atau masjid yang dianggotai oleh ahli qariah di kawasan tersebut.

 

Matlamat Penubuhan Koperasi

Matlamat penubuhan koperasi adalah untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota-anggotanya. Kebiasaannya koperasi menjalankan aktiviti perniagaan untuk menjana pendapatan tambahan untuk ahli-ahli. Modal perniagaan adalah dari caruman setiap ahli koperasi. Sementara, keuntungan daripada perniagaan akan dibahagikan kepada ahli atau anggota koperasi dalam bentuk dividen. Selain daripada dividen, anggota-anggota koperasi juga menikmati harga yang lebih murah dari pasaran dan kemudahan-kemudahan khas seperti pinjaman dan rebat perbelanjaan pendidikan anak-anak.

 

Pentadbiran Koperasi

Pengurusan koperasi ditadbir oleh sekumpulan anggotanya yang dipanggil Anggota Lembaga berasaskan semangat dan usaha bersama untuk memajukan kepentingan ekonomi dan sosial anggota-anggotanya. Jawatankuasa koperasi ini dilantik secara demokrasi pada Mesyuarat Agung yang biasanya diadakan pada akhir tahun kewangan sesebuah koperasi. Seorang Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari akan dilantik untuk mentadbir koperasi itu dan lantikan dibuat berdasarkan kepada calon yang mendapat undi terbanyak. Sesiapa sahaja dari kalangan anggota boleh mencalon atau dicalonkan untuk apa-apa jawatan dalam sesebuah koperasi.

 

Cara Menubuhkan Koperasi

Sesiapa yang bercadang untuk menubuhkan koperasi hendaklah menghubungi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di kawasan masing-masing melalui pejabat SKM Wilayah atau Daerah untuk mendapatkan penerangan dan nasihat lanjut berhubung proses penubuhan dan pendaftaran koperasi. Borang permohonan penubuhan koperasi boleh diperoleh daripada pejabat SKM atau dimuat turun dari laman web rasmi SKM. Permohonan juga boleh dikemukakan secara atas talian melalui Sistem Aplikasi Atas Talian SKM.

[infobox style=”alert-info”]

Permohonan Menubuhkan Koperasi Secara Online
https://apponline.skm.gov.my/

[/infobox]

Pertubuhan koperasi adalah tertakluk kepada Akta 502 (Akta Koperasi 1993) Malaysia.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: