Langgan newsletter kami!

Biodata Ustaz Azhar Idrus

Ustaz Azhar Idrus (atau singkatan ringkas UAI) ialah penceramah bebas yang berasal dari Terengganu. Kebanyakan penonton hadir pada ceramah-ceramah beliau adalah disebabkan oleh gaya penyampaiannya. Ceramah UAI adalah amat bersahaja, sambil diselit dengan jawapan yang lucu tetapi tepat dan padat serta digayakan dalam loghat pekat Terengganu. Orang ramai boleh bertanya soalan secara terus dan dijawab juga secara spontan.

Biodata Ustaz Azhar IdrusGambar Ustaz Azhar Idrus

Nama: Ustaz Azhar Idrus

Gelaran Popular: UAI

Tarikh Lahir: 12 Febuari 1964 (52 tahun)

Tempat Lahir: Kampong Ladang Kuala Terengganu

Pendidikan:
1. Sekolah Rendah Hj. Mohd Sharif, Alor Setar, Kedah
2. Sekolah Menengah Darulaman Alor Setar, Kedah. (Tingkatan 1 dan 2)
3. Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (Tingkatan 3 hingga 6)
4. Mulai belajar agama sekitar tahun 1990.
5. Belajar secara talaqqi lebih kurang dengan lapan orang guru dalam tempoh 12 tahun

Isteri: Rogayah Sulong (46 tahun), Johan Qariah Tilawah Al-Quran Kebangsaan 1978 dan Wan Halimatun Nisa Wan Mohd Nor (30 tahun)

Anak: Nur Madihah Asyiqin (24 tahun), Nur Farhah (23 tahun), Mohd Faqihuddin (22 tahun), Mohd Zuhaili (20 tahun), Ikhwan Najmi (18 tahun), Khairul Mukmin (11 tahun) & Rasydan (10 tahun)

Hobi: Mengembara (taakulan penulis) dan juga minat fotografi bermula pada tahun 1985 serta aktif melukis di kanvas. Memiliki 30 kamera serta kelab fotografi www.digitalmukmin.com

Kisah Silam Ustaz Azhar Idrus

Dahulunya beliau adalah seorang gitaris dalam satu kumpulan band muzik sekitar Kuala Terengganu. Dan sempat membuat beberapa persembahan di stadium-stadium. Setelah kumpulan muziknya mengambil keputusan untuk buat rakaman, beliau menarik diri kerana tujuannya hanya suka-suka sahaja menyertai kumpulan muzik dan bukannya untuk mencari glamour.

Beliau juga adalah seorang yang aktif bersukan dan pernah mewakili Terengganu dalam acara berbasikal pada tahun 1980an. Dan menjadi rutin kelapangan pada waktu malam, beliau akan berbasikal meronda sekitar Bandar Kuala Terengganu bersama-sama kawan-kawan. Beliau pernah bekerja dengan Utusan Malaysia cawangan Kuala Terengganu sebagai artis grafik. Selepas berkahwin seminggu pada tahun 1990, beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan bekerja sebagai pencanting batik dan ketika inilah beliau mempelajari bidang ilmu agama secara bersungguh-sungguh.

Perubahan diri beliau ke arah menjadi seorang yang bersungguh belajar agama adalah kerana kawan baiknya yang dulunya seorang ketua “Punk” menghilang diri selama 5 tahun dan apabila muncul kembali kawannya ini, satu perubahan yang amat ketara daripada pemakaian dan tingkahlakunya dapat diperhatikan. Tahulah beliau bahawa kawannya ini belajar agama di Patani. Apabila melihat kehebatan kawannya ini, timbul rasa ingin menjadi sepertinya juga.

Perubahan Ustaz Azhar Idrus

Bermula tahun 1990, Ustaz Azhar Idrus mula hadir ke kuliah Tuan Guru Haji Syed Mokhar. Ketika itu beliau berumur 25 tahun. Bertalagi dengan Tuan Guru Mohd Tahir kitab-kitab jawi, Tuan Guru Mohd Hakim nahu, saraf, Balaghah, usul fiqh, Qawaidh, mustolah Hadis dan usul tafsir. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar fiqh, usuluddin, nahu & hadis. Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd sirah nabawi. Tuan Guru Haji Hashim nahu, sarof, fiqh dan faraid. Tuan Guru Haji Mat Zain fiqh, nahu, saraf, balaghah, hadis, tafsir dan ramai lagi guru-guru yang lain selama 12 tahun.

Setelah berbekalkan sedikit ilmu, beliau mula mengajar di sekitar Surau Ladang. Dan website pertama surauladang.net diwujudkan pada tahun 1999. Kemudian website www.ustazazhar.com menyusur pada tahun 2005. Dengan melihat anak muda sekarang yang lebih berminat dengan motorsikal dan kereta, maka beliau selitkan apa yang mereka minat. Alhamdulillah anak muda dapat menerimanya dengan baik.

Dengan kesibukan jadual beliau sepanjang hari dan bulanan, Ustaz sentiasa mentelaah buku-buku karangan mufti-mufti serta fatwa-fatwanya. Dalam rutin harian, beliau akan cuba habiskan 20 buah kitab sehari selama 5 jam. Pesanan beliau kepada kita semua, belajar bersungguh-sungguh ketika kita rajin dan ada ketikanya kita malas, masa itulah kita berehat.

Ustaz Azhar Idrus Kini Pendakwah Terkenal

Sehingga hari ini, nama Ustaz Azhar Idrus amat disenangi oleh ramai orang terutamanya golongan remaja yang majoritinya mula memahami Islam dengan lebih mendalam selepas mengenali UAI sama ada secara bertemu empat mata mahupun sekadar membuat rujukan dari pelbagai ilmu yang disampaikan melalui Youtube, Facebook dan sebagainya. Beliau sangat mesra dan rapat kepada golongan blogger yang menjadikan beliau benar-benar seorang Ustaz yang terbuka mindanya serta celik IT.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

One comment

  1. Abu Dzar Al Ghifari

    Semoga Allah memanjangkan umur dan merahmati Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus.
    Satu nadi untuk anak muda masa kini untuk lebih mendekati jalan Allah.
    Takbir!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: