Review Filem Redha: Dari Pandangan Bukan OKU


Catatan ini dipetik dari FB Benz Ali berkaitan ulasan dan review berkenaan Filem Redha yang mengisahkan kisah benar tentang kehidupan ibu bapa membesarkan anaknya yang menghidap autisme.

Filem Redha ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat iaitu Nam Ron, Harith Haziq, June Lojong, Izzy Reef, Ruminah Sidek, Nadiya Nisaa, Remy Ishak dan Susan Lankester.


Poster Filem Redha
Aku pergi tengok filem ini dengan awek aku. Tak ramai orang pun. Tak penuh panggung. Tak sampai sepuluh orang. Aku jarang tengok filem tempatan, aku tak sempat tengok Boboiboy, Ola Bola, apatah lagi Munafik yang khabarnya pecah panggung (Box Office), ya aku tengok Jagat, juga filem tempatan tetapi kutipannya masih kecil jika dibandingkan dengan tiga filem yang disebutkan tadi.

Aku tak sempat baca perasaan terkilan Nam Ron dalam Malaysiakini, cuma baca tajuk saja: Nam Ron (nama sebenarnya Shahili Abdan) terkilan Redha belum pikat masyarakat. Ya benar, aku pergi tonton filem ini bukan sebab Nam Ron pun, tetapi sebab ianya bukan mainstream. Banyak benda mainstream di dunia adalah benda bodoh dan membuang masa. Aku ada tengok Huntsman: Winter War baru-baru ini, trailer gempak tetapi ceritanya sangat membuang masa aku, balik-balik mengulang skrip yang sama, ianya tak sama ketika kali pertama filem ini mem-feminiskan watak Snow White.

Cuma untuk dicatat, filem lakonan Nam Ron memang bagus antaranya yang sempat ditonton adalah Gadoh. Nam Ron berwatak sebagai penggiat teater bawah tanah (sama seperti dirinya di luar dari filem) yang cuba menyatukan pelajar-pelajar sebuah sekolah bermasalah.

Filem Redha ini berlainan dengan filem-filem Melayu klise yang lain. Berlatarkan Pulau Redang, Terengganu, Encik Razlan (lakonan utama Nam Ron) bekerja menyara keluarga di resort Wisana Village. Dia belum menyedari bahawa anaknya Danial, yang kian membesar adalah kanak-kanak istimewa. Isteri Razlan, Alina (juga lakonan isteri Nam Ron sendiri, June Lojong) juga memainkan peranan penting dalam filem sedih ini. Dia orang pertama yang menyedari masalah anaknya. Berkali-kali dia cuba memberitahu Razlan, bahawa anaknya bukan anak-anak biasa, tetapi tidak diendahkan Razlan. Razlan tidak percaya anaknya cacat, anaknya terencat. Dia percaya anaknya tidak ada apa-apa masalah, anaknya normal seperti orang lain. Banyak kali mereka bertengkar dan bergaduh tentang anak yang seorang ini. Ternyata perkahwinan dan mendapat anak, bukanlah sesuatu yang ‘happily ever after’. Filem Gone Girl juga cuba memberikan pandangan berlainan tentang perkahwinan.

Isterinya mempunyai beberapa kawan (aku panggil makcik) middle class yang lain. Utamanya Kat, yang banyak memberi sokongan moral termasuk adik Alina sendiri. Konflik lebih mengusik bila Alina mati, tergelincir jatuh dalam bilik air, meninggalkan Razlan terkontang-kanting untuk menguruskan anaknya yang dia sudah lama tak ambil tahu.

Cuma pandangan seorang penonton, bukan kritikan

Tak banyak sebenarnya filem yang memberi mesej dan pendidikan, jadi filem ini bukan filem biasa. Taare Zameen Par, lakonan Aamir Khan tentang kanak-kanak disleksia, memang menarik, cuma penghujungnya berbeza dengan Redha, Danial tidak memenangi pertandingan renang (dilatih oleh jurulatih Azmi, lakonan Remy Ishak), ianya lebih real. Watak utama yang mempunyai masalah, tidak semestinya menang di akhirnya, proses dan kesabaran, perjuangan lebih perlu diperhatikan berbanding hasil di hujung.

Filem ini gabungan antara drama dan dokumentari, doku-drama kah istilahnya? Aku tak tahu, cuma seperti diakui Nam Ron sendiri, filem ini bukan filem berbentuk hiburan. Filem ini menelan belanja sebanyak RM 3.7 juta termasuk penyelidikan selama dua setengah tahun.

Masyarakat kita masih terabai-abai tentang masyarakat OKU yang teraba-raba ‘dicacatkan’. Filem Boboiboy diminati ramai, kerana ianya animasi, kartun, dekat dengan budak-budak, dan telah mempunyai siri animasinya di kaca TV setiap minggu. Sementara Ola Bola adalah kategori sukan, terutamanya bola, juga pastilah mempunyai die-hard fannya yang tersendiri. Sementara Munafik, arahan sutradara muda, Syamsul Yusof Haslam pastilah ditunggu-tunggu buah tangannya yang terbaru selepas lama menyepikan diri, dan Munafik juga genre seram, yang mempunyai pengikut-pengikutnya yang tersendiri. Ini yang bagi aku menyebabkan filem Redha tak sama jumlah kutipannya berbanding filem-filem disebutkan di atas.

Kehadiran makcik-makcik middle class juga menggamit rasa. Ya, bagi mereka isu tentang autism ini penting (mereka bukan watak utama, tetapi sebagai kumpulan sokongan kepada Alina) tetapi bagi aku, isu ini juga penting untuk dijawab dan diselesaikan, bukan semata-mata tentang ideologi ekonomi politik sahaja. Bagaimana sikap kita terhadap mereka yang berbeza secara fizikal dengan kita? Adakah mereka tidak perlu diberi perhatian? Adakah gerakan kiri dan gerakan Islam mengambil pot isu mereka? Atau mereka cuma maskot/patung dalam kumpulan/siri ceramah parti politik untuk meraih undi?

Sebenarnya dalam sebuah ‘masyarakat chantek’ (meminjam istilah yang dipopularkan pejuang OKU Bangkit, Rosli Ibrahim), orang-orang OKU, bukanlah cacat, tetapi ‘dicacatkan’ oleh masyarakatnya sendiri. Masyarakat yang tak tahu, tak mahu tahu dan tak pernah nak ambil tahu tentang masalah-masalah ahli masyarakatnya. Masyarakat yang bermegah dengan kesempurnaan, berasa malu dengan ahli masyarakatnya yang tidak sempurna seperti orang lain. Danial bernasib baik kerana dibesarkan oleh ahli keluarga yang berpendidikan dan terbuka dengan perubahan, sekiranya Danial dilahirkan di kampung yang konservatif, pastilah dia dikurung, atau dianggap terencat akal.

Perjalanan filem-filem yang meninggalkan mesej mendalam masih jauh berliku sebenarnya. Masyarakat kita jika tidak dilawan tentang obsesi-obsesi filem/karya bodoh, mereka akan terus ketinggalan zaman. Sekurang-kurangnya aku tak balik kosong malam semalam. Aku balik dengan tahu lebih banyak pasal OKU dan Autism.

Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

More Posts - Website

Loading...
Biodata Sara Amelia Bernard, Juara Clever Girl Musim Kedua
Sara Amelia Bernard, gadis cantik yang tiba-tiba melonjak di carian Google Malaysia susulan
Biodata Masya, Juara Ceria Popstar 2
Selepas menjuarai Ceria Popstar 2, Masya terus aktif dalam dunia seni. Walaupun masih lagi bergelar
Biodata Ikhwan Fatanna, Penyanyi Lagu Bismillah
Siapa Ikhwan Fatanna? Tak pernah dengar pun sebelum ni. Beliau adalah penyanyi baru yang
Biodata Nabila Huda, Pelakon Wanita Anak Kepada Amy Search
Siapa tak kenal Nabila Huda. Pelakon wanita yang boleh dianggap senior dalam industri