Langgan newsletter kami!
Back To School Wallpaper

Senarai Semak Keperluan Sikap Menjelang Sesi Persekolahan Baru

Musim persekolahan menjelang lagi. Ibu bapa paling banyak mengeluh dan sedang pening memikirkan perbelanjaan persekolahan anak-anak. Kepada mereka yang sentiasa peka dengan persediaan persekolahan anak-anak mungkin tiada masalah. Hanya masa yang menjadi kekangan untuk mereka keluar membeli keperluan persekolahan sesi baru 2017 ini.

Kepada mereka yang pendapatan cukup-cukup makan, mempunyai bilangan anak bersekolah yang agak ramai pasti menjadi suatu bebanan. Rata-rata dalam kalangan masyarakat kita amat mementingkan persekolahan anak-anak. Itu suatu perkara yang positif. Namun begitu apa yang diharapkan ialah bukan baju sekolah dan kasut sekolah sahaja yang baharu, pemikiran dan cara berbelanja juga harus baharu dan bersikap rasional serta berfikiran positif.

Jika pakaian sekolah tahun lepas masih ada yang boleh dipakai, mengapa hendak membeli yang baharu. Bukan soal ada duit atau terlalu berjimat sangat. Yang hendak bersekolah, yang hendak belajar ialah tuan punya badan. Bukan baju atau kasut baru yang bersekolah. Kecuali memang anak anda baru memasuki alam persekolahan seperti darjah satu. Kesilapan kebanyakan daripada kita ialah nanti anak kita malu atau berasa rendah diri apabila melihat kawan-kawan mereka semuanya memakai baju sekolah yang baharu, tetapi tidak pula malu apabila pelajaran anak-anak mereka merosot atau kalah dengan pencapaian akademik anak orang lain.

“ Adik, ibu harap adik belajar rajin-rajin, baju baru atau kasut baru tidak dapat mengatasi kegembiraan ibu jika adik dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau ujian.”

Masih adakah ibu bapa yang boleh memberi nasihat atau pandangan begini kepada anak-anak?

Jika lah memang tidak mampu, ibu bapa boleh menghubungi pihak sekolah. Cari jalan dan masa yang sesuai berjumpa dengan pihak pentadbir sekolah yang berkenaan. Tulis surat rasmi jika malu hendak berdepan. Beritahu dengan jujur tentang masalah kewangan dan kekangan anda dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak. Sekolah ada menyediakan dana khas untuk keluarga kurang berkemampuan. Percayalah, anda tidak berseorangan dalam hal ini. Namun begitu janganlah mengambil kesempatan semuanya hendak disediakan oleh pihak sekolah.

Seperti yang diperkatakan awal tadi, keghairahan berbaju baharu mengatasi keghairahan menuntut ilmu itu sendiri. Pakai selipar jika tidak mampu membeli kasut. Pihak sekolah tidak terlalu kejam menghukum anak anda yang kelihatan bersemangat ingin bersekolah berbanding dengan mereka yang berbaju dan berkasut baharu tetapi semangat menuntut ilmunya lapuk. Belum pernah pihak sekolah menghukum menyuruh seorang murid itu berhenti sekolah jika seseorang murid itu tidak memakai kasut sekolah.

Kepada masyarakat sekeliling, ubahlah cara kita berfikir atau memandang jijik kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ya, anak anda cukup bergaya dengan pakaian sekolah yang serba baharu, apakah tujuannya? Supaya anak itu berada dalam kelompok pelajar yang berbaju baharu atau mahu menggalakkan budaya menuntut ilmu?

Mari kita berlumba-lumba memperbaharui sikap suka akan menuntut ilmu daripada berlumba-lumba menggayakan pakaian baharu anak-anak sekolah. Usah dirisaukan senarai keperluan yang dibekalkan oleh pihak sekolah kepada kita. Beli mana yang termampu. Pakai mana yang ada. Rasionalkan anak-anak bahawa jangan berjauh hati jika ibu bapa tidak dapat menyediakan pakaian serba baharu. Ajarkan sikap bersederhana dalam berpakaian.

Pihak peniaga memang kerja mereka mengiklankan pelbagai jenama dan produk baharu di pasaran. Itu urusan mereka. Jika ahli perniagaan yang jujur dan tahu tanggungjawab sosial mereka, tidak salah mereka menghubungi pihak sekolah agar menyediakan senarai nama ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli pakaian sekolah. Buat majlis kecil meraikan anak-anak yang kurang mampu ini di gedung perniagaan mereka. Bersedekah. Itu lebih afdal daripada menekan perasaan hiba dalam kalangan orang kurang mampu dengan memperagakan jual murah dan “back to school” yang menikam belakang masyarakat kita secara halus.

Print Friendly, PDF & Email

About Cikgu Salleh

Seorang guru yang berpengalaman luas dalam menulis buku kerja sekolah, cerpen, puisi dan novel. Pernah memenangi Anugerah Sastera Johor 2016 (Puisi Siber).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: