Langgan newsletter kami!
Gambar Solo Pekin Ibrahim

5 Artis Malaysia Yang Berasal Dari Kelantan

Jika sebelum ini kami kongsikan mengenai 5 selebriti Malaysia yang berasal daripada Felda, kali ini kami senaraikan lima selebriti Malaysia yang merupakan anak kelahiran Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang. Let’s find out!


1. Sabri Yunus

Sabri Yunus, satu nama yang tidak asing di kalangan penggiat seni tempatan. Beliau dilihat cukup versatil bukan sahaja sebagai pelakon malahan pelawak, pengacara, penyanyi dan pengarah.

Namanya mula dikenali menerusi sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang disiarkan di Tv3 sekitar 90-an sebagai watak Wan Ismail Golok.

Pada tahun 1995, beliau bersama Allahyarham Ahmad Busu pernah merakamkan album istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina yang berjudul Jangan Mercun! Kongsi, Kongsi, Kongsilah.

Selain Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005, figura kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan itu pernah diiktiraf sebagai Artis Komedi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1993, 1996 dan 2000 serta Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik Drama (Sanggul Beracun) di Anugerah Skrin 2011.

Potret Sabri Yunus Gambar Sabri Yunus Ketika Muda


2. Nora

Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kasih), Hanya Satu dan Desa Tercinta. Itu merupakan antara untaian lagu hit penyanyi hebat tanah air, Wan Norafizah Ariffin atau nama pentasnya Nora. Lagu-lagu tersebut bukan sahaja mengangkat nama di persada tempatan malahan di Brunei dan Indonesia.

Anak jati Kampung Dewan Beta, Kota Bharu, Kelantan itu mula mencipta nama menerusi album Sandiwara sekitar 1994 selepas menjuarai Bintang RTM 1991.

Karier nyanyian Nora kembali meledak apabila beliau menyertai program nyanyian Gegar Vaganza (GV) 2016. Sebelum ini, ibu kepada empat cahaya mata itu menyepikan diri dalam industri muzik kerana fokus kepada penerbitan siri animasi muzikal, Ummi…Ceritalah Pada kami (UCPK).

Sepanjang 26 tahun bergelar anak seni, Nora pernah dianugerahkan Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1995, Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) di AIM 1996, Album Pop Terbaik dan Lagu terbaik di AIM 2001, Lagu Nasyid Terbaik di AIM 2011 dan Juara Kategori Etnik Kreatif menerusi lagu Samudera di Anugerah Juara Lagu (AJL) 22.

Nora Ketika Menyertai Gegar Vaganza 3 Gambar Nora Bertudung


3. Misha Omar

Dikalaku kesepian, Dihanyut ombak nan resah, Kau mengubati kerinduan’.  Itu antara bait-bait lirik lagu Bunga-bunga Cinta yang dinyanyikan oleh Misha Omar. Fenomena lagu malar segar itu sedikit sebanyak melonjakkan nama penyanyi yang berasal daripada Kota Bharu, Kelantan itu.

Sebanyak tiga album studio dihasilkan iaitu Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha Omar (2008) serta satu album kompilasi iaitu Dia.. Misha (2011). Selain Bunga-bunga Cinta, antara lagu-lagu popularnya seperti Dedebu Cinta, Pulangkan, Ku Seru, Sembunyi, Angin Syurga dan Terimaku Seadanya (berduet dengan Hafiz Suip).

Sebelum bergelar penyanyi profesional, bakat figura itu dikesan menerusi Bintang RTM 2001. Selain nyanyian, Misha turut melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Anak keempat daripada tujuh adik beradik itu mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati yang merupakan seorang juruterbang, Firos Ezzwan Rosslyn pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata (dua anak angkat dan seorang anak kandung).

Gambar Nikah Firos Dan Misha Omar 2 Mei 2014 Gambar Misha Omar Dan Suami Bersama Anak Angkat Mereka


4. Fizo Omar

Selepas menyertai program pencarian Hero Remaja 2007/2008, jenama Wan Hafizol Wan Omal atau mesra dikenali Fizo Omar semakin gah di arena seni hiburan Malaysia.  Bukan sebagai aktor malahan pengacara dan ahli perniagaan.

Antara drama dan filem lakonan anak jati Kota Bharu, Kelantan itu adalah Bio-Nik, Spa Q 2, Gadis Merah Jambu, Kongsi, Halim Munan, 7 Petala Cinta, Cinderella dan Isyarat Cinta.

Bermula daripada serunding daging, anak kedua daripada empat adik beradik itu turut menjalankan bisnes burger iaitu Hot Burger dan restoran sajian masakan Thai, Fizo Mawar Kitchen di Bandar Baru Bangi.

Berkat usaha gigihnya, Fizo diberikan pengiktirafan Anugerah Pembangunan Usahawan Muda Selangor menerusi Majlis Anugerah Pencapaian Terbaik Usahawan Selangor 2014 serta Ikon Belia Malaysia (2012 & 2013).

Untuk pengetahuan semua, suami kepada pemilik jenama tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim itu pernah terlibat secara serius bermain bola sepak sehingga mewakili Kelantan dan Malaysia.


5. Pekin Ibrahim

Tahun 2016 merupakan tahun bertuah buat insan bernama Mohd Iznan Ibrahim atau nama komersilnya Pekin Ibrahim. Manakah tidak, filem pertama arahannya, Mat Moto: Kami Bukan Mat Rempit membawa pulang tiga anugerah iaitu Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Baru Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke 28.

Siapa sangka, jejaka yang pernah berkerja sebagai kru restoran makanan segera, A&W di Petaling Jaya itu kini menjadi seorang pelakon serta pengarah yang hebat dan berkaliber.

Memulakan karier sebagai pelakon pembantu menerusi filem pertamanya iaitu Di Ambang Misteri pada tahun 2004. Namanya mula meningkat selepas berlakon filem seram komedi, Hantu Kak Limah Balik Kampung dan filem komedi, Rock Ooo.

Selain Mat Motor: Kami Bukan Mat Rempit, figura yang berasal Kota Bharu, Kelantan itu turut mengarah filem keduanya, KL Wangan.

Sedar atau tidak, bintang drama Balqis itu sudah lebih 20 tahun berkelana dalam industi seni hiburan tanah air.

Pekin Ibrahim Dengan Gaya Rambut Untuk Filem Kampung Drift

Foto Pekin Ibrahim

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: