Langgan newsletter kami!
Chef Nik Michael Imran Yang Kacak Bergaya

5 Chef Selebriti Malaysia Popular Masa Kini

Siapa kata jadi tukang masak atau chef tidak boleh popular. Chef Wan, Chef Ismail dan Chef Florence Tan merupakan antara chef selebriti yang mempunyai pengikut tersendiri dan popular sejak tahun 90-an lagi.

Kini, semakin ramai pelapis baharu yang berjinak-jinak dengan dunia kulinari ini. Kebanyakan mereka lahir dari program realiti masakan, belajar seni kulinari sehingga ke menara gading serta mendapat ilmu dan pengalaman dari kerja terdahulu. Siapa mereka? Take a look!

Chef Nik Michael Imran1. Chef Nik Michael

Benarlah kata pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Perumpamaan ini sesuai ditujukan kepada chef selebriti kacak, Chef Nik Michael apabila mengikut jejak ayahnya iaitu Datuk Nik Ezar Nik Bolia yang merupakan seorang chef hebat di Australia.

Mula memasak seawal sembilan tahun, pemilik nama Nik Michael Imran Nik Ezar ini mula dikenali selepas menyertai program pertandingan memasak MasterChef Malaysia 2011.

Antara rancangan masakan yang dikendalikan olehnya adalah Dapur Panas, Hello Bro.. Tolong Masak, Tea Twist, Kuih Raya Nik Michael, Makmal Masak, Kan Chong Kitchen, Bikin Panas, Makmal Masak dan Aussie Mari.

Anak kelahiran Australia ini juga mempunyai restoran sendiri iaitu PickNik yang beroperasi di Publika Solaris, Kuala Lumpur.

Chef Sherson Lian2. Chef Sherson Lian

Jika anda pernah menonton rancangan masakan 5 Rencah 5 Rasa, pastinya mengenali chef berdarah campuran Cina-Inggeris bernama Sherson Lian ini. Dengan gaya yang selamba, sambil berceloteh memberi tips masakan yang fasih dalam bahasa Melayu membuatkan beliau mudah menambat hati penonton.

Sebelum bergelar chef selebriti, jejaka tinggi lampai ini banyak menimba ilmu kulinari di beberapa hotel dan restoran serta pernah mengikut kursus kulinari jangka pendek di New Zealand.

Selain 5 Rencah 5 Rasa, anak sulung daripada empat adik-beradik ini turut mengacarakan program masakan seperti Family Kitchen With Sherson Lian, Great Dinners Of The World, Reality Bites: Rise Above With Style dan Amazing Food Challenge.

Chef Anis Nabilah3. Chef Anis Nabilah

Kecil-kecil cili padi. Walaupun berbadan kecil molek, wanita cantik manis bernama Anis Nabilah ini adalah jaguh memasak di dapur.

Graduan Seni Kulinari dari Food Institute of Malaysia (FIM) ini sangat popular dengan rancangan masakannya iaitu Icip-Icip, Enak Tradisi, Sesedap Rasa, Rasa-rasa dan Eat Clean With Anis. Berasal dari Subang Jaya, Selangor, beliau mula mengenali dunia kulinari sejak berusia 10 tahun dan masakan pertama yang dipelajari dari ibunya adalah kek marble rainbow.

Chef Fikree Adnan4. Chef Fikree

Mohd Fikree Najib Aznan atau mesra disapa Chef Fikree merupakan antara chef selebriti yang serba boleh. Bukan sahaja pandai memasak bahkan jejaka yang merupakan bekas pelajar di UiTM Pulau Pinang ini turut berbakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

Pernah mengendalikan program masakan seperti Dapur Panas, Hello Bro.. Tolong Masak, Hero Oven dan Dapur Cilik, Fikree juga bergelar pengacara program membeli-belah iaitu CJ Wow Shop.

Chef Ili Sulaiman5. Chef Ili Sulaiman

Tidak dinafikan, program Diari Mangkuk Tingkat Bersama Ili yang disiarkan di Astro Maya sedikit sebanyak melonjakkan nama Ili Sulaiman dalam dunia kulinari.

Belajar memasak dari neneknya, figura comel ini merupakan graduan bidang Perniagaan dari Queen Mary University of London.

“Ramai juga yang menyangka saya pelajar jurusan kulinari selepas terlibat dalam program masakan di Astro Maya HD dahulu. Tapi sebenarnya di Universiti dahulu saya belajar dalam bidang perniagaan, tetapi memasak ialah minat saya,” – Chef Ili Sulaiman

Chef Ili Sulaiman turut menjalankan bisnes kulinari dengan membuka restoran berasaskan makanan fusion iaitu gabungan makanan barat dan timur yang dikenali sebagai Agak-Agak dan beroperasi di Jalan Riong, Bangsar.

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: