5 Majalah Kartun Popular Malaysia Sekitar 80an Hingga 90an

Majalah Komik Popular Malaysia

Membaca majalah kartun merupakan salah satu hobi yang menyeronokkan terutamanya di masa lapang atau hujung minggu.

Di negara kita, pelbagai majalah kartun dihasilkan mengikut genre masing-masing sehingga beberapa majalah berkenaan meraih populariti tersendiri serta meledak hingga ke luar negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Sehingga hari ini, ada di antaranya masih lagi diterbitkan dan beberapanya dihentikan operasi pengeluaran disebabkan masalah dalaman.

Ternyata, kehadiran majalah-majalah kartun ini sedikit sebanyak menceriakan suasana gembira serta menyuntik kesedaran buat tatapan pembaca dan pencinta komik.

Berikut, penulis kongsikan dengan anda lima majalah kartun popular di Malaysia sekitar tahun 80an hingga 90an.

  1. Majalah Gila-Gila

Majalah Gila Gila (Edisi Pertama 1978)Bertaglinekan ‘Majalah Humor Nasional’, edisi pertama majalah Gila-Gila diterbitkan pada 1 April 1978 serta diterajui oleh empat kartunis ‘otai’ popular tanah air iaitu Mishar, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Datuk Azman Yusof menerusi syarikat penerbitan, Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB).

Diterbitkan sebulan sekali, cetakan pertama Gila-Gila adalah sebanyak 10,000 naskah serta diedarkan di seluruh Malaysia. Karikatur bintang filem Nasib Si Badul iaitu A.R. Badul, Aziz Satar dan Ibrahim Pendek dijadikan muka depan majalah terkenal itu.

Majalah Gila-Gila merupakan kesinambungan kepada kematian majalah bulanan kartun yang pertama iaitu Ha Hu Hum yang menjadi pencabar utama kepada majalah MAD dari Barat yang telah menguasai pasaran negara.

Menjadi trend-setter kepada penerbitan majalah humor, Gila-Gila pertama yang setebal 72 muka surat ini telah memuatkan karya-karya kartun oleh kartunis hebat negara seperti Allahyarham Rejabhad, Nan, Zamriabu, Jinit ED, Raz dan ramai lagi.

Paling menarik, majalah edisi sulung berkenaan habis di pasaran dan edarannya meningkat setiap bulan sehingga mendapat permintaan daripada pembaca supaya diterbitkan dua kali sebulan.

Tanggal Februari 1979, majalah Gila-Gila mencipta sejarah tersendiri apabila diterbitkan dua kali sebulan. Selain di Malaysia, Gila-Gila mula dipasarkan ke negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Ramai kartunis-kartunis tersohor negara dilahirkan menerusi majalah Gila-Gila seperti kartunis Ujang, Rasyid Asmawi, Fatah Ngah, Cabai, Kerengge dan ramai lagi.

Lebih 30 tahun bertapak di dalam industri penerbitan, majalah tersebut pernah mencecah edaran sebanyak 200,000 naskhah dan masih lagi diterbitkan sehingga hari ini. Untuk rekod, Gila-Gila telah diterbitkan sebanyak 791 keluaran setakat Februari 2017.

  1. Majalah Ujang

Majalah Ujang (Edisi Terakhir 2015)Selain Gila-Gila, majalah Ujang merupakan salah satu komik kartun yang popular di Malaysia. Majalah ini diterbitkan pada 1 Januari 1994 dan harga yang dikenakan ketika itu ialah RM2.20.

Watak kartun popular, Usop Sontorian menjadi muka depan pertama majalah tersebut. Paling menarik, kartun Usop Sontorian yang merupakan karya kartunis Ujang berjaya dihasilkan dalam bentuk animasi bersiri sekitar 1994 dan disiarkan oleh stesen TV tempatan.

Majalah yang mengunakan motto ‘Majalah Lawak Antarabangsa’ ini sebenarnya mengambil nama salah seorang kartunisnya iaitu Kartunis Ujang. Terdahulu, kartunis Ujang atau mana sebenarnya Ibrahim Anon pernah berkarya di majalah Gila-Gila dengan menghasilkan pelbagai karya popular seperti Aku Budak Minang, Jibam, Atuk, Intelligent Blues Club dan banyak lagi.

Majalah yang diterbitkan oleh Kharisma Groups berkenaan turut menggunakan maskot iaitu watak lelaki kurang siuman yang dinamakan Din Beramboi.

Antara karya-karya popular di majalah Ujang seperti Bersama Selamanya, Mat Despatch, Tok Moh, Katok O Katok, Pakcik Kordi, Budak Hostel serta novel bersiri Aku Hidup dalam Blues.

Majalah ini pernah dihentikan buat sementara waktu pada keluaran ke 74 (1 Mac 1997) sebelum kembali pada 1 Ogos 1997 dengan beberapa perubahan termasuklah ketiadaan kartunis Ujang. Seterusnya, majalah berkenaan telah diambil alih oleh Mohd Osman Yusof (MOY Publications) mendaftarkan nama Ujang sebagai hak miliknya, sekaligus hal ini menghalang kartunis Ujang daripada terus menggunakan nama itu.

Selepas itu, majalah Ujang dikendalikan oleh kartunis Lengkuas bersama kartunis-kartunis seperti Bawang, Nik, Ciku, Lalang, Sukun, Papan, Bijan dan ramai lagi.

Tanggal 6 Ogos 2015 menjadi saksi apabila Moy Publication menghentikan pengeluaran majalah Ujang dan menutup operasi serta merta. Sehingga tarikh itu, majalah Ujang dikeluarkan sebanyak 505 keluaran.

Untuk rekod, majalah itu pernah mendapat jualan tertinggi sebanyak 360,000 naskah sebulan.

  1. Majalah APO?

Majalah Apo2 (Edisi Terakhir)Majalah APO? atau Absolutely Pirate Organization diterbitkan pada 1998 oleh Moy Publications.  Majalah berkenaan diterajui oleh kartunis Petai bersama kartunis Pandan, Sireh, Lambok, Rambai, Sagu, Spider dan ramai lagi.

Di awal penerbitannya, majalah APO? dipasarkan dengan harga serendah RM1.00 senaskah.  Pada ketika itu, majalah berkenaan lebih berkonsepkan gabungan komik lucu dan serius sebelum ditukarkan menjadi 100% humor yang turut dikenali sebagai majalah Ujang kedua.

Sebelum dikeluarkan sebagai majalah, APO? mula diperkenalkan dalam majalah Ujang keluaran ke 78 (edisi 15 September 1997).

Selain Ujang, majalah APO? turut dihentikan pengeluaran pada  6 Ogos 2015. Keluaran 389 merupakan naskah terakhir bagi majalah berkenaan.

 
 
 

  1. Varia Lawak/ Lanun

Majalah Varia Lawak (edisi Kedua)Majalah Varia Lawak merupakan kesinambungan kepada majalah Ujang yang dihentikan penerbitannya pada 1 Mac 1997.

Majalah yang semirip dengan majalah Ujang ini diterbitkan pada 15 April 1997 dan menampilkan kartunis Ujang.

Majalah ini dikeluarkan oleh syarikat penerbitan milik kartunis Ujang iaitu Multi Triple Vision Sdn Bhd yang menyatakan ‘majalah lama yang diberi nafas baru’.

Pada 15 Julai 1997 (keluaran ketujuh), majalah Varia Lawak dihentikan penerbitannya di mana pada muka belakang majalah berkenaan terdapat iklan majalah baru iaitu Lanun yang dikatakan akan diterbitkan menggantikan majalah itu.

Menggunakan slogan ‘Rekreaksi Minda Anda’, majalah Lanun di terbitkan pada 1 Ogos 1997 bersertakan nombor keluaran kelapan menandakan majalah tersebut bukan majalah baru tetapi sekadar menukarkan nama sahaja.

Tidak seperti Ujang dan Varia Lawak, majalah Lanun berfokuskan kepada humor agama dan dakwah. Lanun yang berharga RM3.00 itu dilihat sangat saraf dengan lawak berbentuk tazkirah dan bermoral namun masih mengekalkan unsur kelakarnya.

Seperti yang lain, majalah Lanun turut dihentikan pengeluarannya pada Julai 1996 apabila dikaitkan dengan isu menghidupkan semula Al-Arqam.

  1. Majalah Gempak

Majalah Gempak Edisi PertamaMajalah Gempak muncul buat pertama kali pada Jun 1998 menerusi syarikat Kumpulan Art Square.

Sebelum ‘One Issue! One Surprise!’, majalah itu pernah menggunakan tagline ‘Majalah Komik Generasi Baru’, ‘Satu Isu, Satu Surprise’ dan ‘Komik, Animasi, Game, Toys dan News’ yang menyasarkan  golongan remaja atau belia sekitar 13 hingga 25 tahun sebagai pembacanya.

Pada keluaran 71 hingga 107, majalah ini pernah memaparkan buku kecil iaitu Starz sebelum dijadikan majalah pada Jun 2004. Majalah berkenaan turut diberhentikan selepas lebih empat tahun diterbitkan sebelum dipindahkan semula ke Gempak.

Kartun-kartun yang terkenal dalam majalah itu seperti Lawak Kampus, Si Penjual Aiskrim, Caramel Theater, 2 dudes, Indentiti Evolusi, Wasabi, Hero Boy, Lawak OK-KO, Donkey High School, Mat Gempak dan lain-lain.

Antara kartunis-kartunis yang popular adalah seperti Clay, Bob, Benny Wong, Juice, Hang Sembilan, Fakhrul Anour, Max, Puyuh, Oga, Puppeteer, Michael Chuah, Nizam Bachok dan ramai lagi.

Majalah Gempak masih diterbitkan sehingga hari menerusi syarikat Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd. Untuk rekod, Gempak kini memasuki isu ke 400 pada Februari 2017.


Carian Berkaitan

komik malaysia popular 90an, lawak kartunis sagu, majalah kartun lawak malaysia, majalah kartun malaysia

Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

More Posts

Loading...

Tags: #Komik Kartun Malaysia #Majalah APO? #Majalah Gempak #Majalah Gila-Gila #Majalah Komik Malaysia #Majalah Ujang #Majalah Varia Lawak

Biodata Ungku Hariz, Pelakon dan Suami Jihan Muse
Sedar atau tidak, sudah hampir 10 tahun artis bernama Ku Hariz atau nama
Biodata Jaslin Puasa, Aktor Kacak Kelahiran Felda Sungai Mas
Biodata Jaslin Puasa | Lahir dari program Hero Remaja 2007/2008, nama Jaslin Puasa
Biodata Elly Arifin, Dari DJ Radio & Pengacara Ke Pentas Lakonan
Biodata Elly Arifin | Mengikuti langkah rakan sekerjanya iaitu Adriana Adnan, Eleena Sui
Biodata Ben Amir, Semakin Laris Di Arena Lakonan
Biodata Ben Amir | Penangan drama bersiri popular, Suri Hati Mr Pilot sedikit

Leave a reply "5 Majalah Kartun Popular Malaysia Sekitar 80an Hingga 90an"