Langgan newsletter kami!
Learning 12 Of The Best Ways To Reduce College Life Stress

Lemah dalam Pengurusan Masa Menyebabkan Pelajar Stress? Ikuti Tips Ini

Sejak tahun 2020, satu dunia telah digemparkan dengan penyakit yang sangat berbahaya dan mudah merebak iaitu pandemik koronavirus (COVID-19). Semenjak dari itu, kerajaan Malaysia telah beberapa kali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak ini. Ketika itu, semua masyarakat telah diarah untuk bekerja dan belajar dari rumah secara atas talian. Untuk pelajar, terutama sekali di universiti masih lagi perlu belajar dari rumah secara atas talian kerana kebanyakan institusi pengajian tinggi masih di tutup dan hanya menjalankan pembelajaran dari rumah.

Namun begitu, sejak akhir ini acap kali kita digemparkan dengan berita-berita yang kurang menyenangkan berkaitan golongan belia dan pelajar. Antaranya tajuk di media perdana adalah “Pelajar IPT meninggal dunia disyaki akibat tekanan belajar secara atas talian” (sumber Berita Harian; 10 Julai 2021), “Keluarga dakwa siswi IPT yang meninggal sering mengadu tertekan” (sumber Utusan Malaysia; 11 Julai 2021) dan banyak lagi. Oleh itu, kesan daripada kejadian yang telah berlaku menunjukkan bahawa pengurusan masa sangatlah penting dan perlu dititikberatkan terutama sekali kepada pelajar. Ini kerana jika kita berterusan belajar dan melakukan tugasan tanpa rehat yang cukup, ia akan memberi kesan yang buruk kepada diri terutama sekali kesihatan tubuh badan. Kita perlu ingat bahawa tubuh badan kita memerlukan rehat yang secukupnya agar kita dapat lebih fokus dan bersemangat dalam melakukan sesuatu.

Tips Pengurusan Masa Untuk Pelajar

Di sini dikongsikan beberapa tips dan cara pengurusan masa pelajar. Tips yang pertama sebagai pelajar ialah mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri masing-masing. Masalah utama pelajar adalah dalam mengatur jadual harian. Kebanyakan pelajar sering “copy” bulat-bulat jadual rakan-rakan tanpa memikirkan kelemahan diri. Hal ini kerana setiap manusia mempunya kelemahan dan kekurangan masing-masing. Sebagai contoh, ada sesetengah pelajar boleh mengulang kaji terus menerus selama 3 jam tanpa henti dan rehat. Ada pula pelajar yang hanya fokus dalam sejam sahaja. Oleh itu, kenal pasti dahulu di mana kekuatan dan kelemahan kita sebelum mengatur jadual kuliah.

Tips yang kedua pula ialah dengan merancang jadual berdasarkan keutamaan. Adalah penting bahawa sebarang urusan pada hari tersebut harus menjadi keutamaan supaya ia dapat disiapkan tepat pada masanya. Misalnya, lakukan tugasan itu terlebih dahulu pada waktu pagi jika perlu dihantar pada esok hari. Setiap tugasan atau perkara yang dilakukan mestilah mengikut tempoh masa yang sesuai. Jika anda tidak meletakkan keutamaan maka anda akan terkejar-kejar masa jika terdapat perkara yang perlu disiapkan segera. Kegagalan meletakkan keutamaan akan menyebab anda mengalami tekanan atau stress.

Akhir sekali, cuba fokus dan hindari sebarang aktiviti di media sosial ketika sedang belajar. Sebagai contoh, hidupkan ‘silent mode’ pada telefon bimbit atau matikan telefon anda ketika sedang belajar atau melakukan tugasan. Bukannya anda tidak boleh menggunakan media sosial, tetapi tetapkan masa terbaik untuk digunakan bagi mengelakkan pembaziran masa.

Secara tuntasnya, pengurusan masa perlulah dipandang serius oleh setiap individu. Hal ini kerana ia boleh mendatangkan kesan yang negatif sama ada dari segi kesihatan fizikal dan mental individu. Apabila kita menjaga masa dengan baik hidup kita akan lebih produktif serta lebih teratur untuk melakukan sesuatu perkara. Bak kata peribahasa “Masa itu Emas”. Jadi, hargailah masa dengan sebaiknya.

Kepentingan masa ini juga dapat dilihat ketika surah Al-Quran ini diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al-Asr, ayat 1-3;

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Oleh itu, marilah kita sama-sama mempratikkan kepentingan pengurusan masa agar kehidupan kita lebih teratur dan dapat diharungi dengan mudah.

Artikel oleh:
Wan Nur Batrisyia Binti Wan Mohd Sofi,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: