Langgan newsletter kami!
Cuti Hari Hol

Maksud Hari Hol Pahang dan Johor

Pernahkan anda melihat kalendar dan ada cuti “Hari Hol“. Jadi ada di antara kita yang masih samar tentang pengertian sebenar Hari Hol. Ada juga yang tertanya-tanya mengapa Negeri Pahang cuti pada 7 Mei setiap tahun dan Hari Hol Johor berubah-rubah cuti setiap tahun?

Maksud Hari Hol

Menurut Kamus Dewan, Hol bermaksud kenduri arwah yang diadakan setahun sekali. Ia adalah acara keagamaan sempena memperingati kemangkatan Sultan terdahulu yang memerintah sesuatu negeri.

Hari Hol Pahang

Dalam konteks ini, Hari Hol Pahang merupakan hari memperingati kemangkatan keluarga diraja di negeri Tok Gajah ini. Ia diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula tahun 1974 bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah iaitu ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada tanggal 7 Mei 1974.

Baginda mangkat di Istana Peninjau, Pekan pada usia 70 tahun setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun. Semasa pemerintahan Baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan.

Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat.

Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar (Johor)

Di negeri Johor, tarikh kemangkatan mantan Sultan merupakan hari cuti umum atau Hari Hol. Ia adalah acara keagamaan sempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan-Sultan Johor. Acara ini diamalkan sejak tahun 1896, iaitu setahun selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Pada hari tersebut, doa dan tahlil diadakan bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT. Majlis tersebut kebiasannya diadakan di Makam Diraja yang terletak di Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru.

Sultan Johor akan mengetuai kerabat lelaki Baginda yang terdekat untuk menabur bunga dan menyiram air wangian ke atas makam selepas bacaan doa oleh Dato’ Mufti. Majlis Tahlil pula diadakan selepas menziarahi makam.

Semua pentadbir negeri Johor berbangsa Melayu yang bergelar Dato’, Pegawai Daerah, penjawat awam negeri, Penghulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, Ahli Parlimen dan Ketua Jabatan yang beragama Islam wajib untuk menghadiri kedua-dua upacara tersebut.

Berikut adalah tarikh Hari Hol Johor bagi tahun 2023-2026 yang telah dimuktamadkan:

  • 23 Ogos 2023
  • 2024 TBA
  • 31 Julai 2025
  • 21 Julai 2026
Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: