Langgan newsletter kami!
Bendera Malaysia Berkibar

Sejarah dan Maksud Bendera Malaysia (Jalur Gemilang)

Sejarah Bendera Malaysia

Sejarah bermula pada 29 November 1949 apabila diadakan pertandingan mencipta bendera peringkat kebangsaan. Dalam pertandingan tersebut, bendera ciptaan Encik Mohamad bin Hamzah (arkitek kerajaan Johor) dipilih sebagai pemenang dan buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor pada 26 Mei 1950.

Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai sejajar dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Sejarah Jalur Gemilang

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada sambutan kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama ini diusulkan oleh pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini Tun) pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Pada 31 Ogos 1997, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad mengumumkan nama baru bagi Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Maksud Setiap Elemen Bendera Malaysia

Penghasilan bendera yang diilhamkan oleh penciptanya, Mohamad Hamzah dibuat dengan jiwa yang penuh semangat nasionalisme. Maka, setiap lambang dan warna yang digunakan menonjolkan maksud tertentu.

  • Warna biru tua bermaksud perpaduan yang merupakan elemen paling penting bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
  • Warna kuning bermaksud kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.
  • Warna merah membawa maksud kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran.
  • Warna putih melambangkan kesucian, keikhlasan dan keluhuran bagi meningkatkan dan mempertahankan kebudayaan dan keperibadian Malaysia.
  • 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar menandakan keanggotaan yang sama dalam persekutuan bagi 13 buah negeri anggota (iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka) dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
  • Anak bulan melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.
  • Bintang 14 bucu melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Fakta Jalur Gemilang

Maksud Jalur Gemilang

Jalur – menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Gemilang – bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: