Langgan newsletter kami!
Koleksi Baju Raya Memey Suhaiza

5 Koleksi Pakaian Hari Raya Milik Artis Malaysia

Sebelum kedatangan Ramadhan lagi, ramai selebriti popular tanah air melancarkan koleksi pakaian atau busana Hari Raya Aidilfitri masing-masing. Rata-rata busana lebaran yang diperkenalkan pada tahun ini merupakan hasil idea artis itu sendiri atau berkolaborasi antara pereka fesyen dan jenama pakaian popular. Dari rekaan busana klasik, moden hingga hispter, harga setiap busana jenama artis ini bermula dari puluhan hingga mencecah ratusan ringgit.

Berikut, penulis kongsikan dengan anda mengenai lima busana Aidilfitri 2017 berjenama artis popular Malaysia. Jom semak!

Busana Aidilfitri Jenama Artis Popular Malaysia

1. Datuk Siti Nurhaliza

Diva kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza kini kembali dengan koleksi lebarannya di bawah label Creacion by Siti Nurhaliza. Memilih nama Anugerah Aidilfitri by Creacion, koleksi yang bertemakan Nostalgia ini diinspirasikan dari gaya bintang lagenda tersohor tanah air, Allahyarhamah Puan Sri Saloma.

Mempunyai dua koleksi busana eksklusif iaitu The Nostalgia Series yang dicipta sebanyak 40 rekaan manakala The Premium Series hadir dengan 15 rekaan.

Untuk info, koleksi The Nostalgia Series sudah berada di pasaran mulai 10 Mei 2017 dan harganya bermula dari RM189 hingga RM300. Sementara itu, koleksi The Premium Series dijual awal Ramadan lalu di mana harganya bermula dari RM500.

Paling menarik, koleksi Anugerah Aidilfitri ini datangkan dengan saiz XS hingga 4XL. Busana-busana ini boleh anda dapati di butik Creation yang terletak di Jakel Mall Kuala Lumpur atau di tiga cawangan barunya iaitu di Shah Alam, Bangi dan Johor Bahru.

2. Nur Fazura

Spectrum Raya Collection 2017, itulah nama koleksi pakaian raya milik pelakon popular, Nur Fazura. Seperti tahun-tahun lalu, Fazura kali ini menampilkan 9 busana lebaran yang diilham dari warna-warna pelangi.

Koleksi ini menawarkan harga bermula dari RM290 hingga RM470 bagi harga pre-oder mulai 25 April 2017 hingga 5 May 2017. Harga akan berubah selepas tamat tarikh pre-oder berkenaan.

Hadir dengan empat saiz iaitu S, M, L dan XL, busana-busana cantik ini boleh dibeli secara online iaitu di myhouseofdoll.com.my.

3. Memey Suhaiza

Membuka butik yang dikenali sebagai Meylana sekitar Julai 2015, Memey Suhaiza kini semakin aktif dalam dunia perniagaan pakaian wanita muslimah.

Isteri kepada pelakon kacak bertubuh sasa iaitu Norman Hakim ini mengeluarkan 9 rekaan baju kurung moden di bawah koleksi Meylana Raya Glam. Pakaian raya ini berharga dari RM155 hingga RM199 sepasang serta boleh didapati di butik Meylana yang beroperasi di Dataran Wangsa Melawati.

Untuk info, anda boleh ke instagram rasmi iaitu instagram.com/meylana_

4. Aiman Tino

Selepas melancarkan produk kecantikan berjenama Sweet Aiman beberapa bulan yang lalu, penyanyi yang semakin meningkat naik, Aiman Tino baru-baru ini memperkenalkan koleksi pakaian hari rayanya iaitu Qurta UniverCity by Aiman Tino.

Hadir dengan dua rekaan di mana setiap rekaan mempunyai lima warna berbeza dan boleh dipakai secara unisex (boleh dipakai lelaki dan wanita).

Selain di Busana@Menara Mara, kurta berkonsepkan hipster ini boleh didapati di 25 cawangan Mydin di seluruh negara. Qurta UniverCity ini didatangkan dengan saiz S, M dan L dan harganya ialah RM79.90 sehelai.

5. Fikry Ibrahim

Tidak mahu ketinggalan, pelawak dan pengacara kelahiran Kedah, Fikry Ibrahim turut melancarkan koleksi rayanya iaitu HOUKARaya X Fikry Ibrahim.

Didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu putih dan hitam, pakaian berkonsep houka ini hadir dalam set iaitu baju houka, seluar dan kopiah.

Harga yang ditawarkan bagi setiap satu set adalah RM118. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari instagram rasminya di @eloxclothing.

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: