Langgan newsletter kami!
Kumpulan Nasyid Hijjaz

5 Kumpulan Nasyid Ini Pernah Cetus Fenomena Tanah Air Sekitar 90-an

Selain rock kapak dan balada cinta tangkap leleh, lagu beriramakan nasyid pernah mencipta fenomena tersendiri dalam arena seni muzik tanah air.

Mendapat permintaan yang tinggi, kumpulan nasyid pada ketika itu tumbuh bak cendawan selepas hujan. Bukan sahaja menyejukkan halwa telinga para pendengar, lagu-lagu berunsurkan ketuhanan ini dapat menyemai nilai-nilai murni serta mendidik jiwa masyarakat ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Walaupun aliran muziknya semakin perlahan, lagu-lagu nasyid masih diminati dan sering berkumandang di corong-corong radio kerajaan mahupun swasta sehingga hari ini.

Malahan, sebahagian daripada mereka masih lagi aktif bernasyid dan sebahagiannya membawa haluan masing-masing dek kesibukan urusan kerja dan rumah tangga.

Di sini, kami kongsikan dengan anda 5 kumpulan nasyid yang pernah mencetuskan fenomena industri seni muzik tempatan sekitar tahun 1990-an.

  1. Saujana

Siapa tahu lagu Sepohon Kayu pastinya mengenali kumpulan nasyid ini. Kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 1997 daripada sebuah kumpulan nasyid sekolah, All For Ummah (Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang).

Mereka dianggotai oleh Azalinor Abdul Rahman (Aza), Khairul Idzwan Baharin (Idzu), Mohd Hakimin Harun (Kimi), Mohd Suffian Amrin (Pyan) dan Faizul Hizal Ghazali (Ley).

Sepanjang bergelar anak seni, kumpulan ini turut bertukar ganti ahli kumpulannya. Tahukah anda, juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Shahir pernah menanggotai kumpulan berkenaan.

Selain Sepohon Kayu, lagu Keluarga Bahagia dan Suci Sekeping Hati merupakan lagu nasyid popular kumpulan tersebut.

Lebih enam buah album dihasilkan kumpulan Saujana termasuklah Kembara Cinta (2000), 5 Bintang (2004) dan Nota Cinta (2010).

Ahli Kumpulan Nasyid Saujana Kumpulan Nasyid Saujana

  1. Brothers

“Selama ini ku mencari-cari
Teman yang sejati,
Buat menemani, Perjuangan suci..”

Ini merupakan bait-bait lirik lagu Teman Sejati nyanyian kumpulan Brothers yang cukup popular dan menjadi siulan anak muda pada ketika itu. Lagu malar segar berkenaan terkandung dalam album pertama mereka iaitu We Are yang diterbitkan pada tahun 1997.

Brothers yang ditubuhkan pada tahun 1995 merupakan kumpulan nasyid kontemporari yang dianggotai oleh Yassin, Syah, Faiz dan Salleh.

Sebanyak lima album studio dihasilkan sepanjang berkecimpung dalam industri seni tanah air. Kali terakhir mengeluarkan album ialah pada 2015 berjudul Sabar.

Pada 6 Oktober 2016, salah seorang ahli kumpulannya, Salleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat sakit jantung dan darah tinggi. Al-Fatihah.

Yassin Dan Ahli Brothers Kumpulan Nasyid Brothers

  1. Hijjaz

Hijjaz yang ditubuhkan pada 10 Januari 1997 merupakan kumpulan nasyid kontemporeri yang membawa irama atau muzik semasa dan hanya menggunakan paluan alat ketuk seperti kompang, conga, bongo, marimba dan banyak lagi.

Dianggotai oleh Munif, Issma, Faizal dan Salleh, nama Hijjaz bukan sahaja terkenal di Malaysia malahan mekar mewangi ke Singapura, Indonesia, Brunei, Pakistan, Mesir dan Jordan.

Antara pencapaian terbaik kumpulan Hijjaz seperti Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2003 (Sumayyah Cahaya Ilahi), Anugerah Gold dan Platinum jualan melebihi 90,000 unit album kedua (Keizinan Mu), Anugerah Platinum jualan melebihi 50,000 unit album ketiga (Pelita Hidup) dan Anugerah Platinum jualan melebihi 50,000 unit album keempat (Rindu).

Antara lagu-lagu nasyid popularnya seperti Fatamorgana, Dia Kekasih Allah, Rasulullah dan Sumaiyah.

Sebelum tertubuhnya Hijjaz, mereka pernah menganggotai kumpulan Nada Murni. Menerusi label Hijjaz Music Entertaiment, kumpulan ini telah melahirkan kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti In-Team, UNIC, Ae-man dan Mestica.

Hijjaz Selawat Nabi Kumpulan Nasyid Hijjaz

  1. Raihan

Puji-Pujian, Iman Mutiara dan Syukur. Tiga lagu ini merupakan antara lagu-lagu nasyid yang mengangkat nama kumpulan Raihan satu masa dulu.

Kumpulan yang dianggotai Nazrey Johari, Allahyarham Azahari Ahmad, Amran Ibrahim, Abu Bakar  Mohd Yatim dan Che Amran Idris ini mencipta fenomena tersendiri bermula pada 1997 hingga pertengahan tahun 2000.

Popularti yang dikecapi ketika itu membuatkan nama Raihan meroket hingga ke Australia, Amerika Utara, Amerika Syarikat dan Afrika.

Pelbagai pencapaian dan kejayaan yang dikecapi Raihan antaranya menerima  Album Nasyid Terbaik dan Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998, Album Nasyid Terbaik dan Album Terbaik di AIM 1999, Penyanyi Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1997/1998 serta Penyanyi Nasyid Popular di ABPBH 1998/1999 dan 2000.

Paling menarik, kumpulan itu pernah menerima kunjungan Ratu Elizabeth di Studio Synchrosound, Petaling Jaya sebelum membuat persembahan sempena penutup Sukan Komanwel di Bukit Jalil pada 1998.

Kumpulan Raihan Kumpulan Nasyid Raihan Allahu

  1. Rabbani

Rabbani mempunyai 11 ahli kumpulan dan ditubuhkan pada 1 Mac 1997. Mereka dibarisi Allahyarham Mohamad Asri Ibrahim, Ahmad Syafie, Zulkiflee Azman, Azadan Abdul Aziz, Hamzah Hasyim, Mohd Loqman Abd. Aziz, Mohd Rithaudden Yaakod, M.Afendi Shahbudin, Azizan Khalid, Nazrul Azhar Tamrin dan Mohd Asri Ubaidullah.

Pergi Tak kembali, Intifada, Anak Soleh, Muhammad Ya Habibi dan Berkorban Apa Saja merupakan sebahagian lagu-lagu nasyid popular kumpulan ini.

Selain Lagu Nasyid Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2002, 2009 dan 2010, Rabbani juga pernah dinobatkan penyanyi Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2000, 2001, 2002, 2003, 2004, 2005,2006, 2007, 2008 (Penyanyi/Artis Nasyid Popular), 2009 dan 2010.

Untuk rekod, kumpulan Rabbani sudah 20 tahun berkelana dalam industri nasyid negara.

Kumpulan Nasyid Rabbani Rabbani

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: