Langgan newsletter kami!
Sambutan Tahun Baru Cina Upin Ipin Mei Mei

Hukum Umat Islam Mengucap Selamat Tahun Baru Cina

Tidak lama lagi, kaum Cina akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Sudah pasti bagi umat Islam yang mempunyai rakan berbangsa Cina turut sama ingin menyatakan kegembiraan tersebut sebagai tanda menghormati agama serta anutan rakannya itu.

Lalu, timbul pula pelbagai persoalan, antaranya seperti berikut;

1. Bolehkah umat Islam mengucap hari perayaan bagi agama lain?

Perlu dijelaskan, perayaan agama dan bangsa hukumnya berbeza menurut pandangan ulama. Sebagai contoh, bagi kaum Cina mereka mempunyai dua perayaan besar iaitu Tahun Baru Cina dan Cap Goh Meh. Menurut pandangan ulama, umat Islam dibolehkan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina kerana ia hanyalah perayaan bangsa. Adapun perayaan Cap Goh Meh pula diharamkan kerana ia adalah perayaan agama. Oleh itu, dari sudut ucapan pula diharuskan bagi perayaan bangsa dan diharamkan bagi perayaan yang bersifat agama mereka. Bagi yang was-was, tidak perlu mengucapkannya adalah lebih baik.

2. Bolehkah umat Islam menghadiri jamuan makan atau acara perayaan mereka?

Seperti penjelasan di atas, bagi perayaan bangsa dibolehkan dan yang bersifat agama diharamkan sama sekali. Oleh itu, jika kita dijemput untuk menghadiri mana-mana majlis perayaan Tahun Baru Cina (perayaan bangsa) boleh pergi bagi menghormati rakan tersebut. Akan tetapi, perlu diingatkan agar berhati-hati dengan makanan atau minuman yang dihidangkan kerana bimbang ia bercampur dengan perkara yang haram. Tolaklah dengan cara yang baik sekiranya kita berasa was-was dengan makanan atau minuman yang dihidangkan.

3. Bagaimanakah cara untuk membalas ucapan perayaan yang mereka ucapkan pada kita sebagai umat Islam? 

Ucapan perayaan Selamat Tahun Baru Cina diharuskan kerana ia bukan bersifat keagamaan.  Namun begitu, jika berasa was-was, balaslah dengan ucapan yang menyenangkan hati mereka seperti, ‘Only for you’ atau jika tidak mahu berkata apa-apa, lemparkan saja senyuman padanya.

4. Adakah boleh kita menyerupai rakan-rakan agama lain dalam merayakan perayaan mereka seperti memakai kostum atau pakaian tradisi mereka?

Sebaiknya hindarkanlah daripada menyerupai mereka dalam apa jua aspek termasuklah dari sudut pemakaian. Sekalipun kita tidak berniat untuk mengikuti agama mereka, dibimbangi cara tersebut menimbulkan fitnah bagi diri kita pula.

5. Bolehkah kita memakan buah limau yang diberikan?

Tidak dinafikan, limau memang tidak asing lagi dalam kalangan kaum Cina. Justeru, perayaan mereka juga tidak terkecuali daripada buah ini. Tiada salahnya kita memakan buah yang mereka berikan itu. Namun, sekiranya kita was-was kerana dibimbangi buah limau itu telah dipuja mengikut ritual agama mereka, adalah sebaiknya ditinggalkan saja atau berikan pada orang lain.

Kesimpulannya, umat Islam diharuskan untuk mengucapkan serta menyambut perayaan yang bersifat bangsa sahaja tetapi diharamkan bagi perayaan yang bersifat agama.

Hal ini kerana, ucapan selamat bagi perayaan agama itu mengandungi makna yang tersirat terhadap syiar atau pengakuan bagi agama mereka. Sekaligus, ia menunjukkan seolah-olah kita meredhai pegangan agama yang mereka anuti.

Semoga perkongsian serta pencerahan ini memberi manfaat kepada pembaca semua. Wallahua’lam.

Print Friendly, PDF & Email

About Marina

Berpendidikan agama dari UNISZA dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang beliau ada untuk manfaat komuniti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: