Langgan newsletter kami!
Felixia Yeap Masuk Islam

Kisah Seorang Model Playboy Memeluk Islam

Peragawati cantik jelita dan model seksi Playboy, Felixia Yeap telah menjadi topik bualan hangat di mana-mana apabila telah memeluk agama Islam pada 3 Julai 2014. Beliau sebelum ini pernah tampil dalam majalah Playboy edisi Filipina, dengan baju renang yang menghairahkan namun perubahan pada Felixia Yeap apabila tampil di khalayak dengan pakaian muslimah bertudung, walhal dia sendiri ketika itu masih lagi seorang free thinker (tanpa agama) menjadi bualan hangat seluruh Malaysia. Kontra dengan apa yang difikir dan dilabel oleh orang ramai sebelum ini. Kisahnya menjadi cerita sensasi di mana-mana, baik di media arus perdana, malah di dunia blog dan media alternatif. Segalanya bermula di awal Januari tahun 2014, ketika model cantik ini tampil dengan gaya muslimah yang sangat sopan dan memukau. Ramai yang seakan-akan terpikat dengan penampilan terbaru Felixia Yeap, sehingga mendatangkan cemburu pula pada sesetengahnya. Dek kerana penampilan tersangat kontra dengan sebelum ini yang seksi, ghairah dan mendedahkan, ada yang mencemuhnya dan memberikan komen-komen yang negatif kepadanya.

Secara ringkasnya, kisah hidup Felixia Yeap iaitu model berbangsa Cina bermula dengan pekerjaannya sebagai seorang guru tadika. Kemunculannya di dalam pentas peragaan dan dunia modeling bermula apabila berjaya disenaraikan di antara peserta akhir Dewi Remaja, yang ketika itu dimenangi oleh Scha Al-Yahya (kini seorang pelakon, model dan pengacara TV popular) sekitar 2006. Kemudian, nama Felixia Yeap mula dikenali ramai apabila muncul dan menang dalam beberapa pertandingan ratu cantik, antaranya:

  • Miss Chinese World Malaysia (2006)
  • Miss Malaysia Tourism (2007)
  • Miss Malaysia World (2009)
  • Miss Universe Malaysia (2010)

Felixia Yeap sebenarnya juga adalah seorang blogger. Dia selalu menulis mengenai kisah tentang dirinya di blog. Dan kisah mengenai dia memakai hijab juga diceritakan kepada semua pembaca dan pengunjung blognya. Ramai yang terkejut dan ada yang mencemuh bekas ratu cantik ini apabila mengenakan tudung dan berpakaian lebih sopan daripada wanita muslim yang lain. Walhal niat sebenar beliau untuk bertudung telah lama ada sejak dari tahun 2013 lagi. Anda boleh lawati Blog Felixia Yeap jika ingin mengetahui dengan lebih lanjut perkembangan beliau.

It was a blue hijab and I fell in love with it. Then, I had another chance to wear the hijab again when I was hired as a model for a Muslim boutique in a fashion show during the Hari Raya season – Felixia Yeap

Hidayah Dari Sehelai Tudung

Semenjak pertama kali menggayakan fesyen bertudung, Felixia Yeap semakin selesa untuk bertudung dan berhijab apabila diberikan peluang menjadi model untuk pakaian muslimah. Dan dari situ, bermulalah satu episod baru dalam hidupnya. Ada yang suka, ada yang tidak suka. Ada yang mencemuh, ada juga yang tersenyum sinis tetapi ramai juga yang menyokong pendirian tegar dan berani Felixia Yeap dari berani berpakaian seksi kepada menutup seluruh badan.

Sebaik menyarung hijab, hati saya tiba-tiba terusik. Satu perasaan yang sukar saya ungkap menyelinap dalam hati. Betapa besarnya kuasa sehelai kain nipis yang menutup kepala saya mampu merubah kehidupan saya kini. Sungguh luar biasa. – Felixia Yeap Secara peribadi, untuk diri saya, saya melihat mengapa saya boleh mendedahkan tubuh, berbikini dan buka sana sini tetapi tidak untuk tutup-tutup dan berhijab? – kata Felixia Yeap dalam satu temuramah.

Hidayah Dari Allah

Dari bertudung dan berhijab, Felixia Yeap telah membuat keputusan besar dalam hidupnya. Beliau telah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam pada hari kelima Ramadhan iaitu pada 3 Julai 2014 dengan nama Islamnya Raisyyah Rania Yeap. Tarikh itu dipilih kerana ia simbolik dengan kelahiran dirinya sebagai seorang yang insan yang baru. Ia juga merupakan tarikh sambutan hari lahirnya yang ke 28 tahun. Begitulah hebatnya kuasa Allah s.w.t bila mana seorang gadis tanpa pegangan agama, kehidupan yang jauh tersasar sebelum ini telah memeluk Islam. Allahu-akbar. Berikut adalah petikan kata-kata yang menyentuh hati dari blog beliau tentang bagaimana Felixia Yeap terbuka hati untuk memeluk agama Islam.

Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana. Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu. Saya tidak lagi rasa “impressed” atau teruja dengan kereta sport, bag mahal, kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah. Ya, tidak dapat dinafikan, jika ada semua ini, bukan benda yang buruk, malah bonus kehidupan.. tetapi wang dan kemewahan tidak dapat membeli rasa bertaubat, rasa ingin menjadi seorang yang lebih baik, ketenangan, keredhaan dan kebahagiaan. Sepanjang hampir 7 bulan saya berhijab dan mengenali agama Islam, saya banyak menangis. Bukan dalam kesedihan, tetapi dalam rasa penyesalan kehidupan yang dulu dan rasa ingin bertaubat. Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, “Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!” Pada kali pertama saya melihat video pengislaman dan pengucapan seorang wanita, saya tidak dapat henti menangis. Pada saya, dia amat bertuah kerana Allah SWT memilih dia untuk diselamatkan. Masa itu.. saya masih tidak tahu apa itu hidayah dan taufiq. Dan pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup saya… saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi. 3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadhan 1435.

Kisah Di Sebalik Nama Raisyyah Rania Yeap

Raisyyah Rania Yeap, itulah nama Islam Felixia Yeap. Nama itu bukan nama sembarangan nama, namun ada kisah di sebalik pemilihan nama itu.

“Suatu malam, selepas beberapa bulan memakai hijab saya bermimpi. Dalam mimpi itu, saya melihat sepotong nama daripada cahaya yang cukup bersinar-sinar. Peliknya, sebagai seorang yang jarang mengingati mimpi, saya bangun tidur dan boleh merakam semula moment mimpi saya. Paling ketara ialah tentang nama yang tertulis di dada langit dengan cahaya bersinar-sinar itu buat saya. Apabila saya mencari maksudnya, ia cukup indah”

Buat semua kalian pembaca budiman, moga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak memberikan sesuatu yang baik untuk kita renungi, khususnya tentang amalan dan kewajipan kita sebagai muslimin dan muslimat.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Maka sesiapa yang ALLAH kehendaki untuk mendapat hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang ALLAH kehendaki untuk menyesatkannya nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah ALLAH menimpa azab kepada orang-orang yang tidak beriman” – Ayat 125 Surah Al Anaam.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: