Langgan newsletter kami!
Ujian Crash Test

Apakah Ujian Kemalangan Maya Atau Virtual Crash Test?

Ujian kemalangan fizikal dapat membezakan antara kereta selamat dengan kereta yang tidak selamat untuk digunakan. Kini, semua aspek ujian kemalangan, termasuk dummies (patung boneka), telah dipindahkan daripada persekitaran fizikal ke alam maya. Beberapa dekad yang lalu, syarikat pembuat kereta mungkin perlu memusnahkan lebih dari seratus kereta semasa proses mereka-bentuk setiap model kereta. Namun terima kasih kepada kemajuan teknologi simulasi dan mikrocip komputer, jabatan R&D kini boleh menguji kereta dengan bilangan yang sangat kecil kerana proses ujian kereta kini boleh dibuat secara maya.

Simulasi ujian kemalangan membolehkan jurutera dari pelbagai bidang kepakaran berbincang dengan kumpulan pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan untuk mengoptimumkan rekabentuk dengan lebih pantas, di samping membetulkan sebarang kecacatan serta memastikan kesilapan lampau tidak berulang sebelum model baru dikeluarkan.

Virtual crash test membolehkan syarikat automotif mencari kelemahan dengan lebih cepat dalam peringkat reka bentuk sebelum membuat prototaip pertama dan mengoptimumkan prestasi dalam pelbagai keadaan ujian. Kajian menunjukkan bahawa hampir separuh daripada pemandu mengambil langkah pertahan untuk mengelakkan perlanggaran, seperti menekan brek atau memusing stereng secara mengejut.

Kedudukan badan penumpang sebelum kemalangan mempengaruhi pergerakan semasa berlaku impak. Walau bagaimanapun, patung boneka atau dummies yang kerap digunakan dalam ujian ini tidak dapat mensimulasikan tindakan pertahanan reflektif yang dilakukan oleh manusia pada saat-saat terakhir sebelum berlaku perlanggaran. Oleh yang demikian, simulasi maya digunakan untuk mengkaji kepelbagaian kedudukan reflektif manusia sebelum impak bagi melihat kesan selepasnya.

Dalam hal ini, ujian crash test fizikal memberi laluan kepada ujian secara maya, jadi kita mungkin telah melihat boneka fizikal digunakan buat kali terakhir. Syarikat kereta terkemuka, Toyota baru-baru ini telah memperkenalkan boneka kemalangan terbaharunya yang mampu meniru tingkah laku manusia sebelum kemalangan. Penyelidikan mengenai crash dummies kini merupakan usaha bersepadu terbesar dalam keselamatan automotif di mana model fizikal ini secara berkesan dapat menangkap data dari perlanggaran.

Generasi baharu boneka ujian kemalangan maya kini akan dapat mensimulasikan reaksi manusia sebelum kemalangan, membolehkan analisis komputer yang lebih tepat mengenai kecederaan selepas kemalangan dan prestasi tepat berkaitan tali pinggang keledar, beg udara dan peralatan keselamatan lain semasa kemalangan. Perbezaan ini menunjukkan dengan sendirinya bahawa eksperimen fizikal telah semakin hampir ke penghujung. Dari perspektif keselamatan, boneka ujian maya menawarkan kelebihan unik, termasuk pemodelan tepat pergerakan manusia. Keseluruhan proses ujian kemalangan itu sendiri adalah mahal yang dianggarkan beberapa kali ganda berbanding kenderaan prototaip. Dengan adanya simulasi, syarikat boleh mengurangkan bukan sahaja kos, tetapi juga masa sehingga beberapa bulan.

Sungguh pun begitu, ujian kemalangan fizikal masih memberikan jurutera gambaran yang baik tentang prestasi kereta semasa kemalangan. Ujian kemalangan Euro NCAP menilai kereta pada skala satu hingga lima bintang iaitu semakin tinggi bilangan bintang, semakin rendah kemungkinan berlaku kecederaan atau kematian. Ujian IIHS ini menilai dua aspek keselamatan iaitu keupayaan kemalangan, yang bermaksud bagaimana kenderaan melindungi penumpangnya dalam kemalangan dan keduanya adalah pencegahan dan pengurangan kemalangan, iaitu teknologi yang boleh mencegah kemalangan atau mengurangkan risiko kecederaan yang teruk.

Sebagai kesimpulan, soalan sama ada kaedah virtual crash test boleh menggantikan ujian secara fizikal perlu akan dijawab dan ditentukan oleh masa dan bagaimana teknologi berkenaan diadaptasi dalam persekitaran sebenar. Ia mungkin akan berlaku lebih cepat dari jangkaan kita atau juga mungkin sekadar retorik semata-mata.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: