Langgan newsletter kami!
Old Book

Beza Antara Pantun, Puisi, Sajak, Syair, Seloka Dan Gurindam

Ramai yang bertanya, apakah perbezaan di antara Pantun, Puisi, Sajak, Syair, Seloka dan Gurindam? Secara ringkasnya, persamaan antara pantun, syair, seloka dan gurindam adalah ianya dikenali sebagai puisi Melayu tradisional atau puisi lama dan klasik. Manakala sajak pula dikenali sebagai puisi moden.

Puisi

Puisi mempunyai makna yang sama dengan perkataan poezie dalam bahasa Belanda. Dalam bahasa Yunani dan Latin, puisi dikenal sebagai poietes. Dalam bahasa Inggeris pula dikenal sebagai ‘poetry’. Ia merupakan satu alat pengucapan fikiran yang terindah dan berkesan.

Puisi bermaksud karangan berangkap yang ditulis dengan cara susunan kata yang mementingkan irama, bunyi dan kiasan. Puisi dapat dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Dalam puisi tradisional terdapat empat bentuk puisi yang penting iaitu pantun, syair, seloka dan gurindam. Dalam puisi moden pula hanya ada satu bentuk sahaja, iaitu yang dikenali sebagai sajak.

Pantun

Pantun adalah puisi lama yang terdiri daripada empat baris kalimat yang tiap-tiap satunya mempunyai lapan hingga 11 suku kata. Baris yang pertama bersajak dengan baris ketiga; baris kedua bersajak dengan baris keempat. Dua baris terawal dinamakan sampiran (pembayang), dan dua baris terakhir merupakan isinya (maksud).

Contoh:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Syair

Syair pula mengandungi empat baris serangkap. Keempat-empat baris ini terdiri daripada isi. Rima akhir pula ialah a-a-a-a.

Syair adalah puisi lama yang mengandungi empat baris kalimat dalam setiap rangkap. Keempat-empat baris kalimat itu terdiri daripada isi. Keempat-empat baris kalimat itu pula bersajak sama.

Contoh:

Menara tinggi banyak bertingkat,
Di sana tiada bilik bersekat,
Tiada bertangga naik melekat,
Mata-mata menjaga segenap pangkat.

(2014. Syair Pohon Buluh. Antologi Komsas Tingkatan 1: ‘Ku Ingin Berterima Kasih’. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka).

Seloka

Seloka dikenali sebagai puisi tradisional yang disusun secara berangkap. Namun setiap rangkap tidak tetap, justeru rima akhir adalah bebas. Isi seloka biasanya bersifat menyindir atau mengejek.

Contoh seperti Seloka Pak Kaduk:

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.

Maksud:
Pak Kaduk ditimpa nasib malang yang bertimpa-timpa akibat sikapnya sendiri. Walaupun ayamnya menang dalam persabungan, tetapi kampungnya tergadai. Nasi yang ada dibuang dan apabila balik, dia kelaparan kerana tiada makanan. Apabila Pak Kaduk mudik, dia menongkah surut. Apabila menghilir pula, dia menongkah air pasang. Maksudnya dia melawan arus. Pak Kaduk membunuh isterinya. Kemudian, dia sendiri hampir mati kerana tiada makanan. Ketika Pak Kaduk hendak belayar, angin berhenti bertiup. Apabila Pak Kaduk melabuhkan sauh (berlabuh), angin pun bertiup semula. Pak Kaduk turut menumpang di rumah orang walaupun dia mempunyai rumah sendiri.

Gurindam

Gurindam dikenali sebagai puisi lama yang hanya terdiri daripada dua baris serangkap. Dalam baris pertama tersimpul fikiran yang berupa soalan. Dalam baris kedua pula termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi. Kedua-dua baris ayat itu tersimpul fikiran lengkap yang berupa nasihat.

Contoh:

Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.
Apabila mendengar khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.

Sajak

Sajak pula ialah puisi moden yang tidak terikat dengan ciri-ciri puisi tradisional seperti pantun. Justeru, sajak lebih bebas penciptaannya. Oleh itu, susun baris, rangkap dan rima adalah berdasarkan tujuan penulis atau penyair. Sifat sajak sedemikian adalah untuk memberi kebebasan kepada penulisnya untuk menyampaikan fikiran dan perasaan dengan cara yang sesuai dengan semangat sesuatu zaman.

Contoh sajak “Balada Hidup”

Sehelai
daun kering
berguguran
di bumi hayat
senja hiba
berlabuh lesu
di horizon waktu bulan
kehilangan bintang
akur bertafakur
di cakerawala hidup!

(Chai Loon Guan. Balada Hidup dalam Dewan Sastera, Jun 2017)

Sebagai kesimpulannya, genre puisi merangkum pantun, syair, seloka, gurindam dan sajak selain nazam, mantera, ratib, nasyid, masnawi rangkait, teka-teki, perbilangan adat, dendangan, talibun, teromba dan bahasa berirama.

Alangkah manisnya, jika puisi tersebut turut disisipkan dalam skrip ucapan dan teks pengacaraan majlis selain diperdengarkan kepada khalayak masyarakat dalam majlis rasmi ataupun majlis tidak rasmi.

Persembahan puisi juga akan menjadi lebih menarik jika diiringi dengan alunan muzik seperti alunan tiupan seruling bambu.

Rujukan: GPS Bestari, Yusri Zainol Abidin

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: