Langgan newsletter kami!
Buah Kurma

Buah Kurma dan Pelbagai Khasiat Mengenainya

Apa Itu Kurma

Buah kurma atau dalam bahasa Arab, tamar adalah dari jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antara khasiat yang ada dalam buah kurma adalah protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Kandungan protein di dalam kurma adalah sekitar 2%, serat hampir 4% dan kandungan gulanya 50-57% glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap badan adalah serta merta. Gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh diserap terus ke dalam badan. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum ditukar menjadi glukosa lalu diserap badan sebagai tenaga.

Di kalangan penduduk di negara-negara Arab, kurma adalah makanan utama mereka. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah SAW.

Antara hadis yang menyatakan kelebihan buah kurma adalah daripada Adiy bin Hatim, ia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma”

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma cukup membuatkan kita terhindar daripada api neraka.

Kurma di Malaysia

Di Malaysia, buah kurma secara automatik jadi buah yang paling laku dalam kalangan Muslim ketika tiba bulan Ramadhan. Ramai yang ingin memanfaatkan amalan sunnah berbuka puasa dengan buah kurma. Sebenarnya, buah kurma mempunyai banyak kebaikan, bukan sekadar untuk orang berpuasa, tetapi juga kepada sesiapa sahaja.

Pohon kurma dipercayai berasal dari sekitar Teluk Parsi. Ia telah ditanam sejak zaman silam dari zaman Mesopotamia ke zaman Mesir Purba seawal tahun 4,000 SM. Malah terdapat bukti arkaeologi tentang penanaman kurma di Arabia Timur pada tahun 6,000 SM. Namun kini, pohon kurma juga telah ditanam di Malaysia seperti di Kelantan. Malah pohon itu telah berbuah dengan sangat lebat pada tahun 2014.

Buah kurma akan masak dalam empat peringkat iaitu kimri (matang), khalal (saiz-penuh, rangup), rutab (masak, lembut), dan tamar (masak, kering matahari). Namun di Malaysia, kita biasanya menikmati kurma jenis tamar, iaitu kurma yang telah kering.

Beberapa jenis kurma yang banyak dijual di pasaran adalah seperti kurma muda (rutab), kurma sukari (kurma raja), kurma medjool, kurma tunisia (palm fruit mesir) dan yang paling popular dan mahal tentunya kurma ajwa atau juga dikenali sebagai kurma nabi.

Diriwayatkan hadith dari Sahabat Sa’ad bin Abi Waqqas

“Barangsiapa memakan 7 biji kurma Ajwa di waktu pagi, maka di hari itu ia tidak akan terkena racun mahupun sihir”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Khasiat Nutrisi Dalam Buah Kurma

1) GULA RINGKAS
Kurma mengandungi gula ringkas seperti fruktosa dan dextrose. Malah ia juga turut memberi tenaga segera kepada pemakannya. Itulah sebabnya buah kurma sering menjadi amalan sewaktu berpuasa di bulan Ramadhan. Selain kerana sunnah Rasulullah SAW, umat Islam mengamalkan buah kurma sewaktu bersahur dan berbuka puasa sebagai pemberi tenaga setelah lapar berpuasa.

2) SERAT
Buah kurma kaya dengan serat makanan. Serat membantu menghalang penyerapan kolesterol jahat (LDL) dalam darah. Selain itu, serat juga dapat mengelakkan masalah sembelit kerana serat membantu melancarkan pembuangan najis. Oleh sebab itu, kurma dapat membantu melindungi dinding usus daripada bahan kimia penyebab kanser yang terdapat di dalam kolon.

3) TANIN
Kurma juga mengandungi antioksidan flavonoid polifenol yang dikenali sebagai tanin. Tanin mempunyai ciri-ciri anti jangkitan, anti radang, dan anti pendarahan (mencegah risiko pendarahan kecil).

4) VITAMIN A
Kurma juga mengandungi vitamin A (149 IU atau 5% daripada RDA setiap 100 g). Vitamin A mempunyai sifat antioksidan dan bagus untuk mata. Pengambilan buah-buahan semulajadi yang kaya dengan vitamin A dapat mencegah risiko kanser paru-paru dan rongga mulut.

5) ANTIOKSIDAN
Kurma mengandungi flavonoid antioksidan seperti beta karoten, lutein dan zeaxanthin. Antioksidan ini mempunyai keupayaan untuk melindungi sel-sel dan struktur lain dalam tubuh daripada kesan berbahaya radikal bebas.

6) ZAT BESI
Zat besi juga merupakan salah satu nutrien yang terkandung dalam buah kurma. Ia mengandungi 0.90mg zat besi / 100g buah (kira-kira 11% daripada RDA). Zat besi merupakan komponen hemoglobin di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen dalam darah. Kekurangan zat besi akan menyebabkan anemia (kurang sel darah merah).

7) POTASSIUM
Kurma adalah sumber potassium yang baik. 100g kurma mengandungi 696mg potassium atau 16% daripada RDA. Potassium merupakan komponen penting dalam sel dan cecair badan yang membantu mengawal kadar jantung dan tekanan darah. Oleh itu, potassium dapat mengurangkan risiko strok dan penyakit jantung koronari.

8) KAYA MINERAL
Buah kurma juga kaya dengan mineral seperti kalsium, mangan, tembaga dan magnesium. Kalsium sangat penting dalam pembentukan tulang dan gigi. Selain itu, ia juga diperlukan oleh badan untuk penguncupan otot, pembekuan darah dan pengaliran denyutan saraf. Badan manusia menggunakan mangan sebagai faktor utama untuk enzim antioksidan. Tembaga diperlukan untuk pengeluaran sel darah merah. Magnesium pula penting untuk pertumbuhan tulang.

9) VITAMIN B-KOMPLEKS
Buah kurma juga mengandungi kumpulan vitamin B-kompleks serta vitamin K. Antara vitamin B yang terkandung di dalam buah kurma adalah pyridoxine (vitamin B-6), niacin, asid pantothenic, dan riboflavin. Vitamin ini bertindak membantu tubuh memetabolisma karbohidrat, protein dan lemak.

10) VITAMIN K
Vitamin K tidak popular seperti vitamin C dan vitamin B. Namun fungsinya terhadap tubuh tidak boleh diabaikan. Fungsi utama vitamin K adalah membantu proses pembekuan darah dan menghentikan pendarahan.

Khasiat Kurma Untuk Orang Berpuasa

1) BERI TENAGA SEGERA
Disebabkan buah kurma mengandungi gula ringkas, jadi ia mampu memberi tenaga segera kepada orang yang berpuasa.

Menurut Dr David Canning, seorang pakar nutrisi British, beliau mendapati air yang mengandungi gula akan diserap ke dalam tubuh dalam tempoh 20-30 minit. Tetapi gula yang terkandung di dalam buah kurma akan habis diserap dalam tempoh 40-45 minit.

Tenaga yang dibekalkan oleh buah kurma lebih panjang tempoh waktunya berbanding gula biasa. Itulah sebabnya, kurma menjadi pilihan yang baik untuk memberi tenaga kepada orang berpuasa.

2) MENEUTRALKAN ASID
Kurma mengandungi garam beralkali. Dan ia membantu meneutralkan asid dalam darah. Sewaktu berpuasa, kita banyak menikmati juadah yang pelbagai jenis ketika berbuka.

Karbohidrat yang berlebihan boleh menyebabkan kandungan asid berlebihan dalam darah. Jadi, kurma yang mengandungi garam beralkali dapat meneutralkan sifat tersebut.

3) ELAKKAN SEMBELIT
Sembelit boleh berlaku apabila pola waktu pemakanan kita berubah, kurang minum air dan kurang serat. Sewaktu berpuasa, kita tidak makan dan minum bermula selepas Subuh sehingga Maghrib. Malah, walaupun selepas berbuka, kita mungkin kurang minum dan mengambil serat dalam makanan kita. Faktor ini boleh menyebabkan sembelit.

Kurma yang kaya dengan serat, dapat mambantu mengelakkan masalah sembelit. Selain itu, kurma juga mudah hadam. Oleh itu, ia tidak menyebabkan keradangan perut.

Daripada Anas bermaksud:

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka RasulullahSAW akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.”
(Hadis Riwayat Ahmad)

Khasiat Kurma Untuk Ibu Mengandung dan Menyusu

Di dalam buah kurma, juga terdapat nutrisi penting iaitu potassium yang berfungsi untuk mengatasi stress, sembelit dan lemah otot. Selain itu, zat besi dan kalsium yang terkandung pada kurma boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan kencing manis.

Buah kurma amat bagus dimakan untuk ibu yang sedang sarat mengandung. Rasulullah SAW menyarankan supaya ibu yang sedang hamil untuk memakan buah kurma yang mana akan memberikan kesan yang baik buat kepada bayi yang bakal lahir nanti.

“Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang sedang hamil. Kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang akan lahir kelak akan menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas. Sesungguhnya makanan Siti Maryam tatkala melahirkan Nabi Isa AS adalah buah kurma.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, buah kurma juga bagus untuk ibu yang menyusu badan. Nutrisi zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, dengan memakan buah kurma akan dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu mereka.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: