Home / Teknologi / Pandu Uji Kereta Terbang Malaysia Pada Khamis Ini
Kereta Terbang Malaysia Kerajaan PH

Pandu Uji Kereta Terbang Malaysia Pada Khamis Ini

Selepas sekian lama menjadi persoalan dan bahan bualan, sesi pandu uji kereta terbang malaysia yang dijangka dilakukan buat pertama kali pada hari Khamis ini, 21 November 2019. Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, akan melakukan sendiri pandu uji kenderaan yang boleh memuatkan dua orang itu.

Menyatakan ia akan dijalankan di Subang, beliau turut mengundang ahli Parlimen pembangkang menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan, bagi menampilkan kenderaan yang menggunakan ruang udara sebagai platform.

“Saya jemput Yang Berhormat Paya Besar (Mohd Shahar Abdullah-BN) jika mahu. Kita boleh duduk bersama kalau nak ambil gambar ketika kereta itu terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Tertarik dengan kenyataan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mencelah kerana tidak diundang menyertai sesi berkenaan. Celahan itu membuatkan ahli Parlimen ketawa dan Mohd Redzuan memanjangkan undangan kepada Mohamad Arif jika ada kelapangan selepas jam 2 petang tetapi perlu ke Subang untuk tujuan itu.

Kereta Terbang Malaysia Vector Tun M Lihat Model Skala Kecil Kereta Terbang Malaysia Aerodyne Group

Kecaman Terhadap Kereta Terbang Malaysia

Dalam kenyataan sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan memerli mereka yang mengecam model kecil kereta terbang itu.

“Mereka boleh pilih sama ada hendak terus di belakang, menafikan perkara itu. Duduk bawah buluh pun tidak mengapa, hendak naik kereta buat daripada buluh pun tidak mengapa.

“Prototaip ini dibina anak Malaysia, ia dibina di Jepun. Kenapa ia dibina di sana? Kerana di sini belum ada ekosistem yang boleh membangunkannya.”

Beliau berkata, kritikan adalah perkara biasa kerana pihaknya sedang memfokuskan usaha membangunkan modal insan dan mendidik masyarakat mengenai isu kereta terbang.

“Kita tidak boleh terbang sesuka hati, kena ada lapangan terbang atau helipad. Jadi, undang-undang kena diwujudkan dan rangkanya sedang kita mulakan sebelum LIMA ’19 dengan Majlis Pembangunan Negara.”

Kereta terbang ialah platform mobiliti udara yang menggerakkan segala bentuk medium melalui perjalanan udara tanpa melalui kesesakan jalan raya. Mengikut laporan terdahulu, kereta terbang yang dikenali sebagai ‘Vector’ itu adalah dron yang dikuasakan oleh empat motor menggunakan bateri litium-ion dan boleh menampung beban antara 150 hingga 200 kilogram.

Sumber: BHOnline

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: