Langgan newsletter kami!
Islamic Wallpaper Gambar Masjid

Arak dan Alkohol Dari Perspektif Hukum Islam

Perbezaan Arak dan Alkohol

Tidak dinafikan bahawa alkohol atau lebih tepatnya, etanol adalah bahan asas yang wujud dalam arak. Namun begitu, kita wajib membezakan di antara kedua-duanya kerana kesan yang terhasil di sebalik pengambilan arak adalah berbeza dengan kesan daripada pengambilan etanol. Jika seseorang meminum arak, dia akan mengalami kemabukan sedangkan peminum etanol akan mengalami simptom keracunan sehingga boleh menyebabkan kematian.

Menurut En. Dzulkifly Mat Hashim yang merupakan Ketua Makmal Produk dan Proses Inovasi, Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia, Serdang dalam satu sesi temuramah bersamanya, pandangan yang menyamakan arak dengan etanol adalah suatu kesilapan kerana kedua-duanya adalah berbeza terutamanya dari sudut kimia. Ini kerana terdapat pelbagai jenis alkohol yang dihasilkan di pasaran yang kebanyakannya sudah digunakan sebagai pelarut dan penstabil bahan dalam sesuatu produk dan bukannya semata-mata untuk penghasilan arak. Menurut beliau lagi, rata-rata pengilang arak di Malaysia juga tidak berminat untuk menghasilkan alkohol sebagai produk mereka di samping arak kerana kos di sebalik pemprosesan etanol adalah lebih mahal dan lama berbanding proses penghasilan arak sedangkan harganya pula lebih murah daripada arak. Justeru itu, masyarakat Islam sepatutnya membuang tanggapan serong terhadap alkohol dan kilang yang menghasilkannya kerana mereka tidak semestinya mempunyai kaitan dengan penghasilan arak.

Sebagai contoh, kilang Fermpro di Chuping, Perlis tidak menghasilkan etanol untuk pengilang arak bahkan syarikat ini telah mendapat kelulusan halal secara rasmi daripada Jabatan Agama Islam Perlis setelah pemeriksaan menyeluruh dibuat terhadapnya. Namun demikian, pemantauan berterusan masih perlu dilakukan terhadap pengilang etanol kerana masih terdapat kemungkinan mereka akan menjualnya kepada pengilang arak seperti yang dilakukan oleh sebuah kilang etanol di Perak. Oleh yang demikian, pengilang etanol mentah sepatutnya diwajibkan membuat pengistiharan rasmi dalam perniagaan mereka untuk tidak mempunyai sebarang hubungan dengan industri arak. Pandangan ini bertujuan untuk mengelakkan industri etanol mentah daripada dipergunakan untuk menghasilkan arak sehingga memudaratkan masyarakat. Keadaan ini berlaku apabila etanol akan ditambah ke dalam arak untuk menambah tahap kelikatan etanolnya sama ada untuk tujuan menaikkan harga dan juga tahap kemabukan. Ini sejajar dengan kaedah hukum sadd al-dhari‘ah yang menghalang sesuatu perkara daripada dilakukan sekalipun pada asalnya ia diharus. Ini dapat dilihat seperti dalam kes pengharaman menghina tuhan agama lain, menjual senjata kepada orang kafir ketika peperangan, menjual anggur kepada pengeluar arak dan sebagainya.

Selain itu, En. Dzulkifly Mat Hashim juga menegaskan proses penghasilan arak dan etanol adalah sama. Kedua-duanya melibatkan penapaian atau fermentasi. Sebagai contoh, dalam proses penghasilan arak, perahan anggur akan diperam sehingga ianya berbuih dan “menggila” mengikut tempoh masa tertentu bagi mendapatkan konsentrasi etanol padanya. Manakala proses penghasilan etanol juga melibatkan penapaian. Sisa gula tebu (molasses) akan diperam bersama yis sehingga larutannya berbuih dalam tempoh masa kira-kira 24 jam. Setelah itu, ia akan melalui proses penyulingan bagi mengasingkan etanol mentah daripada bendasing seperti yang diterangkan sebelum ini. Justeru itu, boleh dikatakan bahawa etanol mentah yang telah dihasilkan juga boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan arak dengan cara mencampurkannya dengan air. Namun demikian, tidak boleh menganggap etanol adalah arak memandangkan sifatnya adalah beracun sedangkan arak bersifat memabukkan.

Oleh yang demikian, etanol yang dihasilkan untuk kegunaan industri contohnya sebagai pelarut, penstabil dan perisa adalah pada hakikatnya harus selagimana kadar etanol yang dicampurkan adalah terkawal dan tidak menyebabkan kemabukan atau keracunan. Selain itu, alkohol juga digunakan dalam bidang yang lebih kritikal seperti perubatan untuk mematikan kuman terutamanya ketika pembedahan. Justeru itu, kita sepatutnya tidak boleh menghukumkan bahawa alkohol adalah haram secara total kerana ia juga terhasil dalam sesetengah makanan halal yang melalui proses penapaian. Kadar peratusan etanol yang wujud di dalamnya adalah kira-kira 5% seperti tapai beras. Selain tapai, makanan lain yang juga mengandungi etanol adalah tempe, budu, kicap, cencaluk dan sos, cuma kadar kandungan etanolnya tidaklah sebanyak etanol yang wujud dalam tapai.

Sumber: Jurnal Fiqh Universiti Malaya

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: