Langgan newsletter kami!
JPA Penjawat Awam

Cuti Tanpa Rekod Upacara Keagamaan Bagi Penjawat Awam

Berikut adalah petikan ucapan Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2018.

Bagi menghargai penjawat awam bukan beragama Islam menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing, Najib berkata, kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari maksimum sepanjang tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Januari 2018 kepada penjawat awam berkenaan.

Sebelum ini, katanya, kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan selama tujuh hari hanya diberikan kepada penjawat awam beragama Islam bagi tujuan menunaikan umrah.

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 2018 – KEMUDAHAN CUTI KEAGAMAAN.

Pekeliling ini dikeluarkan bertujuan untuk memberi kemudahan Cuti Keagamaan yang merupakan cuti tanpa rekod untuk pegawai perkhidmatan
awam persekutuan yang bukan beragama Islam mengunjungi dan melaksanakan aktiviti keagamaan di tempat-tempat keagamaan.

Mulai 1 Januari 2018, Kerajaan telah memperuntukkan cuti tanpa rekod sebanyak tujuh (7) hari, iaitu sekali sepanjang tempoh perkhidmatan kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang beragama Islam bagi maksud menunaikan umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.

Berikutan itu juga, selaras dengan keprihatinan Kerajaan kepada kepelbagaian agama di kalangan pegawai perkhidmatan awam, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan kemudahan cuti tanpa rekod sebanyak tujuh (7) hari kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang bukan beragama Islam untuk mengunjungi dan melaksanakan aktiviti keagamaan di tempat-tempat keagamaan mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.

Pelaksanaan Cuti Keagamaan

  1. Cuti Keagamaan adalah bagi maksud mengunjungi dan melaksanakan aktiviti keagamaan di tempat-tempat keagamaan dalam dan luar negara mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.
  2. Cuti Keagamaan merupakan cuti tanpa rekod yang diperuntukkan kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang bukan beragama Islam dan dilantik secara tetap.
  3. Cuti Keagamaan tertakluk kepada maksimum tujuh (7) hari, tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.
  4. Perkiraan tujuh (7) hari bagi maksud aktiviti keagamaan bermula dari tarikh penerbangan/perjalanan sebenar dibuat bagi mengunjungi dan melaksanakan aktiviti keagamaan di tempat-tempat keagamaan dalam atau luar negara. Sekiranya tarikh penerbangan/perjalanan bermula pada hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, maka perkiraan tujuh (7) hari akan bermula pada hari bekerja berikutnya.
  5. Sekiranya pegawai memerlukan tempoh melebihi tujuh (7) hari atas sebab-sebab tertentu, maka pegawai boleh memohon untuk menggunakan kemudahan Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas atau Cuti Tanpa Gaji atas urusan persendirian, tertakluk pada kelayakan cuti pegawai.
  6. Cuti Keagamaan diberikan sekali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan (oneoff), yang meliputi perkhidmatan di bawah semua Pihak Berkuasa Melantik. Sekiranya tempoh cuti yang digunakan adalah kurang daripada tujuh (7) hari, baki cuti yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke hadapan.
  7. Bagi tujuan mengunjungi dan melaksanakan aktiviti keagamaan di luar negara, pegawai perlu mematuhi nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.

Rujukan Penuh PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 2018 – KEMUDAHAN CUTI KEAGAMAAN dari laman JPA.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: