Langgan newsletter kami!
Makkah Kaabah View

Maksud Sebenar Duyufurrahman

Alhamdulillah kini kita telah tiba pada musim haji sekali lagi dan syukur tidak terhingga jika anda adalah salah seorang yang terpilih. Ibadah haji adalah puncak bagi segala ibadah. Melaksanakan haji adalah impian setiap umat Islam kerana ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah SWT. Ia juga merupakan satu-satunya ibadah yang sarat dengan pelajaran dan pengajaran yang dapat diraih bagi seorang Muslim yang melakukannya. Begitu istimewa ibadah ini sehinggakan orang yang melaksanakannya dinamakan dengan gelaran Duyufurrahman.

Mesej Tetamu Bakal Mengerjakan Haji

Erti Duyufurrahman

Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan duyufurrahman? Duyufurrahman bermaksud tetamu Allah. Ia adalah ungkapan yang diberikan kepada jemaah yang bakal mengerjakan ibadah haji. Para jemaah yang terpilih adalah dalam kalangan ribuan, malahan jutaan orang yang ingin menjejakkan kaki ke bumi Baitullah.

“Haji mabrur tidak ada balasan yang pantas bagi seseorang Muslim selain syurga”
(Hadis Riwayat Bukhari no. 1773)

Memang benar ganjaran yang paling layak bagi duyufurrahman adalah syurga. Tetapi jaminan ini adalah untuk mereka yang beroleh haji mabrur. Dengan hanya selesai melaksanakan rukun Islam yang kelima bukanlah jaminan untuk masuk ke syurga.

Sebelum berangkat, bakal haji perlu membuat persediaan secukupnya dari aspek ilmu, mental, spiritual dan fizikal supaya dapat menyempurnakan ibadah dengan lengkap serta berada di sana dalam keadaan sihat, selesa dan selamat.

Sebelum berangkat, jemaah haji seharusnya telah mempelajari ilmu-ilmu ibadah haji dengan menghadiri kursus-kursus haji anjuran Tabung Haji bagi jemaah Malaysia. Kursus-kursus yang diadakan bertujuan untuk memberi suatu gambaran jelas tentang bagaimana cara untuk melakukan ibadat haji seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kefahaman ibadat haji sangat penting kerana ia akan menjadi asas pergerakan jemaah di Tanah Suci dan panduan ke arah haji yang mabrur.

Menyedari peluang keemasan ini, kehadiran di Tanah Suci ini harus diisi dengan penumpuan kepada ibadah yang didasarkan dengan peradaban sebagai tetamu kepada Yang Maha Kuasa. Semoga dengan ibadah ini dapat merubah kita semua menjadi insan yang lebih soleh yang dapat memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara yang dicintai.

Semoga dianugerahkan Allah SWT dengan haji mabrur.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: