Langgan newsletter kami!
Anak Kibar Bendera Malaysia

Adakah Penting Belajar Sejarah?

Menulis buku sejarah tidak senang. Menulis buku teks sejarah, lagilah tidak senang. Ia perlu melalui ramai orang. Ia perlu terbit dari konsensus beberapa orang hanya untuk bersetuju fakta mana yang harus digunakan.

Ramlah Adam merupakan sejarawan tersohor negara. Beliau sendiri berkata bahawa penghasilan buku teks Tingkatan 3 (yang menerapkan silibus mengenai perjalanan kemerdekaan) menuruti kehendak kerajaan.

Sejarah untuk pendidikan ini, aku ulangi, tidak sama ‘semangatnya’ dengan disiplin sejarah yang tulen. Sejarah untuk pendidikan khususnya di negara kita, hanya ditimbulkan sebagai senaskah tebal berisi fakta yang mampu menidurkan pelajarnya.

Pemahaman pelajar diukur menggunakan soalan rencam bentuknya. Boleh jadi esei pendek, boleh jadi isi tempat kosong, boleh jadi objektif aneka pilihan – itu sejarah dalam arus pendidikan kita. Itu subjek Sejarah.

Pelajar kita kurang kritis; mereka tidak diajar sedari kecil untuk menjadi kritis. Kita marah bila mereka banyak tanya. Kita tunding bila kita salah depan mereka. Kita geram bila mereka meluah. Kita suruh diam bila mereka minta jelaskan apa yang berlaku di Malaysia kini. Lalu bagaimana kita mengadun mereka menjadi rakyat berotak?

Tunggu mereka besar. Belum kira sebahagian keluarga retak yang merosakkan perkembangan minda anak-anak. Waktu mereka seharusnya belajar untuk kenal dunia, mereka dipaksa belajar untuk menekup tangan di telinga bila ibu bapa menjadi budak-budak yang berperang mulut.

Ini realiti pelajar muda kita. Siapa peduli? Tiada yang peduli. Ibu bapa, masyarakat, negara. Hanya sekolah yang dibenarkan peduli. Tapi sekolah tidak mampu, sebab mereka cuma ibu bapa kedua. Cuma rumah kedua. Rumah pertama mereka ialah medan piring berterbangan dan lawan pekik siapa betul. Akhirnya pelajar ini menumpahkan perasaan dengan rakan. Rakan menjadi ibu bapa utama mereka. Bukan lagi ‘budak-budak lelaki perempuan yang dewasa badannya’ di rumah.

Kita kembali kepada subjek Sejarah. Pelajar kita ikut apa yang ada dalam buku teks. Buku teks menjadi penghubung mereka dengan ilmu yang akan diuji dalam kertas peperiksaan nanti. Buku teks pula menjadi alat pendoktrinan negara, alat ideologi negara. Ideologi negara biasanya menuntut kesetiaan kepada sayap kanan agar rela menghidu ketiak kerajaan. Budaya kita budaya mengikut. Budaya kita bukan budaya melawan.

Jika kita minta Pakatan Harapan (PH) tukar; buat apa? Di bahagian mana perlu ditukar? Apa kebaikan yang PH boleh perolehi jika pihak komunis mula mengisi lebih banyak ruang dalam buku teks?

Di sisi pelajar – adakah pelajar yang peduli? Kebanyakan mereka cuma peduli perihal apa bab yang keluar. Mereka belum mahu peduli siapa itu komunis, lagi-lagi mahu terinspirasi atau memilih sisi kanan atau kiri. Mereka peduli berapa banyak betul boleh dapat.

Pemikiran dewasa jangan disamakan dengan pemikiran sebahagian besar pelajar kita; retleksi sejarah bukanlah suatu budaya dalam pembelajaran, meskipun ada dalam rancangan mengajar.

Antara pihak kerajaan-guru-pelajar: tiada manfaat kita memproduksi lagi penulisan fakta buku teks tentang komunis. Barangkali demi menghormati disiplin sejarah; penulisan fakta yang lebih neutral boleh dijalankan ke dalam buku teks.

Contohnya, buku teks Tingkatan 1 dan 2 kini lebih baik, lebih mantap. Yang lebih aku banggakan, kedua-dua buku teks itu melibatkan pensyarah yang aku hormati; Dr. Bilcher Bala dan Dr. Ismail Ali. Aku jarang puji orang, tapi mereka memang hebat dalam pensejarahan Malaysia khususnya berkaitan Sabah.

Tuntasnya, sejarah dalam erti sebenar meraikan neutraliti. Sejarah dalam erti sebenar merayakan keseimbangan membincangkan sisi menang dan kalah. Tetapi hakikatnya, sejarah dalam pendidikan pula berbeza. Ia dinipiskan menjadi bentuk yang perlu diuji untuk faham. Ia diluruskan agar tidak membebankan murid.

Silibus Tingkatan 1, 2 kini (yang aku sebut dengan manis sekali di atas) hanya sedap dan seronok untuk dewasa macam aku. Aku pula memang sudah belajar benda itu di universiti.

Untuk para pelajar, luahannya masih sama – tidak faham kenapa harus belajar kerajaan alam Melayu. Tidak faham kenapa harus belajar Zaman Air Batu Akhir. Tidak faham kenapa harus belajar kapak Neolitik. Tapi mereka boleh faham apa yang diharuskan (kerajaan) untuk dibenci, diharuskan (kerajaan) untuk ditakuti: komunis.

Hassan Hanafi benar; sejarah perlu kesedaran. Sejarah tanpa kesedaran cuma fakta yang orang berlumba ingat. Walaupun isu forum tersebut adalah mengenai kewajaran diubah fakta dalam buku teks, ia perlu menjawab dahulu soalan ini: apa sebenarnya yang kita mahu pelajar belajar?

Kalau mahukan perubahan yang terasa kesannya, ia tidak bermula dari buku teks. Ia bermula dari rumah. Ia bermula dari kita. Aku percaya jika kita sudah sesuai pemikiran kita untuk mengenali sejarah dalam sifat mentahnya: gunakanlah buku sejarah sebenar, tidak lagi perlu buku teks.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: