Langgan newsletter kami!
Kanak Kanak Perempuan Berdoa Kepada Allah

Waktu Mustajab Doa

Setiap manusia pasti punya impian, kehendak atau keinginan dalam hatinya. Justeru, bagaimana cara untuk mencapai kehendak dan keinginan tersebut selain dari berusaha? Bagi umat Islam, mohonlah doa pada Allah SWT; Tuhan yang mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Tuhan yang memberikan mereka nafas untuk hidup di muka bumi-Nya. Tuhan yang mengendalikan dan mengatur segenap perjalanan liku hidupnya.

Oleh itu, hanya kepada Dialah tempat untuk setiap manusia bergantung harap. Hanya kepada Dia manusia meminta, bermohon, bermunajat agar segala permintaan yang terbuku dalam hati segera ditunaikan di alam nyata. Jika ditanya pada setiap orang, apakah yang kamu inginkan dalam hidup ini? Sudah pasti, berjela-jela kertas belum tentu cukup untuk menulis segala keinginannya.

Maha Pemurah dan Maha Pengasihnya Allah, yang mencintai hamba-Nya yang sentiasa berpaut hanya kepada-Nya. Ya, Allah mencintai hamba-Nya yang berdoa dan meminta-minta kepada-Nya, bahkan memurkai mereka yang sombong dan enggan berdoa kepada-Nya dengan ancaman, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud;

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan doa kalian. Sungguh, orang-orang yang menyombongkan diri kerana enggan beribadah kepada-Ku, akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam dalam keadaan hina.”
(Ghafir : 60)

Lalu, bagaimana kita mahu agar doa yang dipanjatkan itu dikabulkan Allah SWT?

Waktu Mustajab Untuk Berdoa

  1. Ketika bersahur atau sepertiga malam terakhir
    Waktu sahur atau sepertiga malam terakhir adalah waktu yang penuh keberkatan. Ini kerana, saat itu Allah SWT turun ke langit dunia dan mengabulkan setiap doa hambaNya yang berdoa ketika itu.

    Rasulullah SAW bersabda;
    “Tuhan kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malam. Kemudian berfirman; ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku-kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Ku-berikan, orang yang meminta ampun dari-Ku, akan Ku-ampuni.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Walaupun begitu, kita dilarang untuk membayangkan sifat ‘turun’nya Allah SWT ini sepertimana turunnya manusia dari satu ke tempat yang lain. Cukup hanya dengan beriman bahawa Allah SWT turun ke langit dunia.

  2. Ketika berbuka puasa
    Waktu berbuka adalah waktu yang dinanti-nantikan oleh mereka yang berpuasa kerana menahan lapar, dahaga, mujahadah dengan nafsunya di siang hari dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Bahkan ia juga merupakan salah satu waktu yang diterima doanya.

    Rasulullah SAW bersabda;
    “Ada tiga doa yang tidak ditolak. Doa orang yang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

  3. Ketika azan berkumandang
    Azan adalah suatu syiar kebesaran Allah untuk menyeru umat Islam menunaikan solat, beribadah kepada-Nya. Kita disarankan untuk senyap tatkala azan dilaungkan bagi menghormati waktu. Namun, dalam masa yang sama waktu ini juga digalakkan untuk berdoa (dalam hati) bagi memohon segala hajat.

    Hal ini turut disabdakan oleh Baginda Nabi SAW;
    “Doa tidak tertolak pada dua waktu iaitu ketika azan berkumandang dan ketika peperangan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

  4. Di antara azan dan iqamah
    Selang waktu antara azan dan iqamah juga merupakan waktu terbaik untuk bermohon kepada-Nya.

    Rasulullah SAW bersabda;
    “Doa di antara azan dan iqamah tidak ditolak.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

  5. Ketika sujud dalam solat
    Sebelum memberi salam untuk mengakhiri solat, berlama-lamalah untuk bersujud. ini kerana sujud terakhir itu merupakan salah satu waktu dekatnya diri kita dengan Allah.

    Rasulullah SAW bersabda;“Seorang hamba berada paling dekat dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang bersujud. maka, perbanyakkanlah berdoa ketika itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

  6. Ketika turunnya hujan
    Hujan yang membasahi bumi itu bukan sahaja menghidupkan tanaman, bahkan ia menjadi masa yang ditunggu-tunggu untuk berdoa.

    Ini kerana Rasulullah SAW bersabda; “Doa tidak tertolak pada dua waktu iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” (Hadis Riwayat al-Hakim)

Itulah antara beberapa waktu yang digalakkan untuk kita berdoa kerana barakah (keberkatan) yang terdapat di dalamnya. Semoga perkongsian ini menjadi momentum kepada diri kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan dan situasi. Juga, mengambil peluang dalam masa-masa tersebut dan seterusnya, menjadikan-Nya sebagai satu-satunya tempat untuk kita meminta pertolongan mahupun belas ehsan.

Print Friendly, PDF & Email

About Marina

Berpendidikan agama dari UNISZA dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang beliau ada untuk manfaat komuniti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: