Pengalaman dan Tips Memasuki Raudhah Ketika Melakukan Umrah

Gambar Raudah

Pengalaman memasuki Raudhah ini dipetik dari perkongsian oleh Suhaili Mohd Zain. Untuk yang belum tahu, Raudhah adalah suatu tempat yang terletak di dalam kawasan Masjid Nabawi di Madinah. Ia terletak di antara mimbar dengan makam (dahulu rumah) Rasulullah SAW. Ianya betul-betul bersebelahan dengan Masjid Nabi. Jarak antara rumah nabi dengan masjid hanyalah bersebelahan dan di antara ruang itulah digelar Raudhah.

Ibn Hajar Al-Asqalani dan Imam Nawawi mengatakan bahawa di situ tempat seharusnya diperbanyakkan doa. Semoga bermanfaat.

Perkongsian Jemaah Wanita Memasuki Raudah

Malam ini Sally nak kongsi pengalaman masuk ke Raudhah di mana anda boleh solat semahu-mahunya. Cara paling selamat, paling aman, tidak bertolak, tidak perlu berlari dan paling penting boleh berdoa dan bersolat tanpa ada gangguan dari Jemaah lain dan pengawal Arab wanita.

Alhamdulillah, kali ini Sally berpeluang 4x memasuki Raudhah. Itu pun sebab sehari Sally demam. Kalau tidak pastinya setiap hari paling tidak 2x sehari pasti hendak mengunjungi makam Rasulullah SAW. Itulah tempat yang menjadi idaman setiap muslim jika di Tanah Madinah Al Munawwarah.

Berlainan dengan pengalaman umrah pertama, kali ini Sally memilih untuk memasuki Raudhah mengikut keadaan Sally sekarang. Sally tidak boleh berlari dan bertolak-tolakan. Mengandung 3 bulan membataskan pergerakan agresif Sally. Lebih-lebih lagi membawa bonda bersama yang baru sahaja recover dari stroke. Kali pertama beliau masuk ke Raudhah mengikuti kumpulan kerusi roda. Tapi apabila Sally amati keadaan, seperti biasa, strategi Sally buat dan susun secantiknya. Yang paling penting adalah kesabaran. Masuk dan sabar menunggu. Tidak perlu tergopoh-gapah.

Waktu yang paling sesuai untuk memasuki Raudhah

bagi wanita adalah selepas Subuh dan selepas Isyak. Pastinya melalui pintu masjid no 25. Tidak perlu terburu-buru atau tunggu di masjid selepas solat. Sally nasihatkan anda balik dulu selepas solat. Selepas Subuh misalnya, balik ke hotel untuk sarapan dulu. Berehat, buang air, berwuduk dan sebagainya dan sebagusnya kenakan jubah dan khimar berwarna hitam supaya tidak diganggu oleh pengawal Arab wanita kerana kita nampak serupa dengan orang Arab, Pakistan dan sebagainya. Dan kalau boleh beg umrah yang diberikan oleh travel agen tu digantung di dalam telekung atau tidak dibawa langsung. Kerana beg itu adalah pengenalan kita dan dah dikenalpasti kita dari Malaysia.

Selepas berwuduk dan mengenakan pakaian serba hitam, kembali ke Masjid Nabawi mengikuti pintu 25 sekitar pukul 8.00 pagi dan terus ke bahagian depan. Penghadang kayu antara ruangan wanita dan lelaki telah dibuka. Laluan ini adalah laluan menuju ke Raudhah. Waktu ini anda tidak perlu berebut dan tidak perlu bertolak dan berhimpit. Hanya perlu berjalan lemah lembut dan terus ke Raudhah.

Mungkin kali pertama pergi, anda boleh mengikuti kumpulan mutawif tetapi untuk sekian kalinya, lebih baik pergi sendiri. Lagi kecil kumpulan lagi senang pergerakan kita dan sukar dicam oleh pengawal wanita Arab. Kita boleh menyelit di mana-mana kumpulan. Jika anda nak masuk selepas Isyak, balik dulu ke hotel untuk makan malam dan sekitar pukul 10.00 malam kembali ke Masjid Nabawi mengikut cara yang Sally jelaskan di atas tadi.

Selepas melalui penghadang kayu, anda akan masuk ke kawasan dataran Raudhah. Dari sini sudah kelihatan makam Rasulullah SAW di bahagian hujung iaitu kawasan bilik Siti Fatimah. Anda boleh duduk dulu di dataran Raudhah, solat tahiyatul masjid, berzikir, baca al-Quran dan apa-apa sahaja di sini. Biasanya Sally lebih suka masuk selepas Isyak. Sally tunggu sahaja di sini lebih kurang 1 jam setengah. Tidak terasa lama jika waktu yang ada diisi sebaiknya. Biarkan sahaja kumpulan lain masuk terlebih dahulu. Kita sabar sahaja menunggu.

Bila orang sudah tidak ramai, sekitar 1-2 kumpulan sahaja, kita sudah boleh mula menyelit masuk. Sampai giliran kumpulan yang kita menyelit tadi, berjalanlah menuju ke Raudhah dan menghimpit ke kiri rapat ke makam Rasulullah SAW. Tidak perlu terus ke karpet hijau. Biasanya Sally duduk dahulu di karpet merah. Sampai salam sahabat dan sebagainya. Bila keadaan agak reda, Sally akan masuk terus ke karpet hijau, rapat ke dinding dan mula bersolat di situ. Oleh kerana keadaan kita di bahagian tepi dinding, jadi tiada siapa yang akan menolak. Jika ada 3-5 orang sekumpulan, beraturlah dan pastikan semua mendapat tempat di tepi dinding.

Solat taubat dahulu dan kemudian solat hajat. Satu solat hajat untuk satu hajat dan disambung lagi solat dan solat dan solat. Doa dibaca ketika setiap sujud terakhir. Solat sambung menyambung tanpa henti. Tidak pernah ada kekuatan untuk solat sebanyak itu. Jika di Malaysia, solat sunat hajat 2 rakaat sekali sahaja. Dhuha pun paling banyak 6 rakaat. Huhuhu.. tetapi bila di Raudhah rasa seperti tidak mahu berhenti solat. Jangan sesekali berdoa mengangkat tangan dan duduk termenung menangis. Pengawal Arab wanita akan menghalau kita keluar secepatnya. Tapi jika kita kekal dalam keadaan solat, mereka tidak akan ganggu atau menyuruh kita berhenti dan keluar.

Biasanya Sally akan menyertai kumpulan masuk ke Raudhah sekitar pukul 11.30 malam selepas sejam setengah menunggu. Dan kami habiskan masa lebih kurang 1 jam di dalam Raudhah. Selepas solat di dinding bahagian kiri, bergeraklah ke kanan seolah-olah ingin keluar. Tapi masa ini Sally akan rapat ke bahagian depan berdekatan dengan tiang Siti Aisyah dan ambil peluang bersolat di situ. Kawasan tengah Raudhah sekitar pukul 12.30 malam agak lengang. Dan kita boleh bersolat di mana sahaja. Pengawal Arab wanita sudah mula untuk meminta jemaah keluar dari Raudhah kerana pukul 1 pagi mereka akan menutup Raudhah bagi wanita dan buka peluang untuk jemaah lelaki pula pada pukul 2 pagi. Dan waktu ini, kita akan rasa puas, aman dan rasa macam dah habis doa nak dibaca dan bersolatlah taubat sebanyaknya. Jika kita masuk berebut- rebut dan tergopoh gapah dan bersesak kemungkinan kita berpeluang solat sekali sahaja.

Alhamdulillah kali ini Allah SWT berikan jalan yang terbaik buat Sally dan keluarga. Bonda, nenda dan kakanda amat berpuas hati dan semua kembali ke hotel dengan senyum puas dan syukur pada peluang yang Allah SWT berikan.

Sally harap perkongsian Sally ini dapat dimanfaatkan dan anda juga berpeluang ke Raudhah dan rebutlah peluang beribadat di sana. Sally tidak mengikuti mana-mana mutawif kerana merasakan agak susah bergerak dalam kumpulan yang besar. Dan ada yang tergopoh untuk balik dan selesai awal. Sally lebih suka santai dan punyai lebih masa di sana. Cubalah, anda akan lebih rasa manisnya. Jangan pernah serik memasuki Raudhah dan sentiasalah semai rasa rindu untuk ke sana sepanjang di Madinah.

Di sini Sally kongsi video malam terakhir Sally di Raudhah.

Semoga anda juga dapat mengunjungi Taman Syurga ini. Amin.

Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

More Posts - Website

Loading...
Arak dan Alkohol Dari Perspektif Hukum Islam
Perbezaan Arak dan Alkohol Tidak dinafikan bahawa alkohol atau lebih tepatnya, etanol adalah
Hibah: Harta Bercagar Atau Satu Perogolan Ilmu?
Ini dakwaan sesetengah pihak. Menurut pihak ini hanya harta yang bebas dari cagaran
Niat Solat 5 Waktu dan Solat Jumaat
Setiap solat atau sembahyang yang hendak dilakukan perlu dimulakan dengan niat tak kira
Hukum Puasa Sunat Jumaat Sahaja – Adakah Perlu Diiringi Puasa Khamis Atau Sabtu?
Memandangkan Ramadhan sudah berakhir, pasti ramai di antara kita yang ingin berpuasa sunat

Leave a reply "Pengalaman dan Tips Memasuki Raudhah Ketika Melakukan Umrah"