Terdapat beberapa amalan yang menjadi sebab Allah SWT melimpahkan keluasan rezeki dan kepada hamba-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah SWT memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Berikut adalah di antara amalan murah rezeki dan cepat kaya.
Rezeki bukan hanya diukur pada tahap kewangan seseorang sahaja. Rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk dan bukan hanya wang ringgit semata-mata. Antara contohnya ialah rezeki berkahwin, rezeki mempunyai anak, rezeki tubuh badan sihat, rezeki tempat kerja dekat dan bermacam-macam lagi.
Amalan Murah Rezeki
1. Beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah RA)
2. Memperbanyakkan Istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Nabi SAW bersabda:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas RA)
3. Menjauhi Dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih berbuat dosa. Dosa bukan saja akan membuatkan hati resah malah menutup pintu rezeki. Nabi SAW bersabda:
“.. dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Riwayat at-Tirmizi)
4. Mengingati Allah SWT
Mengingati Allah membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Inilah rezeki yang hanya diberikan oleh Allah kepada orang yang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti Dan Mendoakan Ibu Bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahkan rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
6. Berbuat Baik Dan Menolong Orang Yang Lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi SAW:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
(Riwayat Bukhari)
7.Tunaikan Hajat Orang Lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi SAW:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.”
(Riwayat Muslim)
8. Berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
9. Amal Kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Aktiviti Seawal Pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Mengeratkan Silaturrahim
Nabi SAW bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”
(Riwayat Bukhari)
12. Melazimi Kekal Berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.
Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Rajin bersedekah merupakan antara amalan murah rezeki. Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki.
Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi Solat Malam (Tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.
15. Selalu Solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat di waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah SWT dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah SWT berfirman:
“.. dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Ali Imran: 145)
17. Zikir Dan Bacaan Ayat Quran Tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna akan menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati. Selain itu ia juga mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan fahaman tentang agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Contohnya, pada dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki. Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa yang mengamalkan baca surah al-Waqi’ah pada setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kepapaan.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar
Sesiapa yang berusaha, dia akan berjaya. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Nabi SAW bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”
(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab RA)
Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Sekian sahaja beberapa jenis amalan murah rezeki yang boleh anda praktikkan. Sebagai kesimpulan, untuk dimurahkan rezeki, kuncinya adalah amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya itu dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.