Langgan newsletter kami!
Niat Solat Jumaat Di Masjid

Niat Solat Jumaat Yang Betul

Salam Jumaat Sayyidul Ayyam. Hari jumaat merupakan hari kebesaran dan keagungan bagi umat Islam kerana pada hari ini terdapat pelbagai kelebihan dan keutamaan yang akan diperolehi kepada mereka yang mengetahui tentangnya. Hari jumaat ialah raja segala hari kerana di dalamnya terkandung keberkatan. Bagi orang lelaki, menunaikan solat jumaat hukumnya adalah Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan ke atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu. Ianya dimulakan dengan niat solat jumaat.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya],” – Al-Jumu’ah: 9

Sabda Rasulullah SAW:

“Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak dan orang yang sakit.” – Riwayat Abu Dawud & Hakim.

Cara Mengerjakan Solat Jumaat

Datang awal ke masjid dan masuk dengan membaca doa masuk masjid sambil berniat iktikaf kemudian terus menunaikan solat tahiyatul masjid 2 rakaat. Sementara menunggu azan bacalah al-Quran atau apa-apa zikir yang diharuskan secara perlahan.

Elakkan daripada berbual-bual dan bermain-main. Setelah azan, bangkitlah untuk menunaikan solat sunat sebelum Jumaat dua rakaat, kemudian hendaklah mendengar khutbah, tidak tertidur dan tidak berkata-kata.

Setelah selesai khutbah Jumaat dan iqamah, bangkit untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah. Apabila selesai solat, elok sama-sama mengaminkan doa yang dibaca oleh imam. Selepas habis doa, bangkitlah untuk menunaikan solat sunat selepas Jumaat sebanyak dua rakaat.

Setelah selesai keluar dari masjid dengan kaki kiri sambil membaca doa keluar masjid.

  • Berdiri dalam saf dan angkat takbir sejurus selepas imam mengangkat takbir.
  • Semasa takbir, bacakan niat solat jumaat di dalam hati:
    Sahaja aku solat fardhu Jumaat dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
    atau;
    Sahaja aku solat fardhu Jumaat dua rakaat mengikut imam kerana Allah Taala.
  • Kemudian solat seperti biasa mengikut imam sebanyak 2 rakaat.

Semoga panduan ringkas ini bermanfaat untuk anda. Selamat beramal.

Rujukan: Jabatan Agama Islam Perak

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: