Langgan newsletter kami!
Cara Masak Nari Goreng Cina (resepi)

Cara Memasak Nasi Goreng Cina (Mudah dan Sedap)

Nasi Goreng Cina atau ‘chinese fried rice‘ adalah menu masakan panas biasa yang boleh anda ‘order’ selain daripada nasi goreng kampung. Ianya sangat versatile, mudah didapati di kedai makan dan restoren makanan panas ala thai di seluruh negara. Hidangan ini sangat sedap dan sangat ‘simple’ untuk disediakan. Malahan kanak-kanak juga sukakannya disebabkan rasa yang tidak pedas. Jadi di sini saya akan kongsikan cara masak nasi goreng cina untuk anda cuba sendiri di rumah.

Sebenarnya, cara untuk mengenalpasti nasi goreng ini adalah begitu mudah sekali dan kita dapat mengecamnya dengan hanya melihat dengan sekali imbas sahaja. Antara ciri utama yang paling mudah dikenalpasti adalah ianya mempunyai sayur carrot yang dipotong dadu kecil di samping isi jagung dan kacang pis. Dari segi warna pula, ianya berwarna cerah dan sedikit ‘plain’. Kebiasaannya, nasi goreng cina sangat sedap jika dihidangkan bersama sup kosong, telur mata atau telur dadar dan sedikit sambal belacan serta timun sebagai hiasan dan pelengkap.

Bahan-bahan

Bahan Utama

  • 2 mangkuk nasi putih
  • 1 biji telur ayam
  • sedikit isi ayam – dihiris nipis
  • sedikit isi udang
  • sayur campur (kebiasaannya carrot (lobak merah), kacang pis dan isi jagung)
  • sedikit lada sulah
  • 1 kiub ayam
  • 1/2 sudu kecil minyak bijan
  • sedikit minyak untuk menumis

Bahan Kisar

  • 3 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang merah

Bahan Hiasan

  • bawang goreng
  • hirisan daun bawang
  • hirisan cili
  • timun
  • sambal belacan

Cara Masak Nasi Goreng Cina

  1. Ambil kuali dan panaskan sedikit minyak.
  2. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga warna sedikit kekuningan dan naik bau.
  3. Seterusnya masukkan isi ayam dan gaul hingga agak masak
  4. Masukkan pula isi udang dan kacau lagi.
  5. Kais sedikit kesemua bahan tumis tadi ke tepi kuali dan masukkan telur yang telah dipecahkan.
  6. Kacau telur sedikit supaya menjadi seperti scramble egg, namun tidak perlu terlalu halus.
  7. Biar telur sedikit berketul.
  8. Masukkan pula kiub ayam yang telah dihancurkan, lada sulah dan juga sayur lobak merah, kacang pis dan isi jagung.
  9. Kemudian masukkan nasi putih dan sedikit minyak bijan.
  10. Gaulkan hingga nasi menjadi sebati.
  11. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Berhati-hati masukkan garam kerana kiub ayam sudah mempunyai rasa masin.
  12. Sesuaikan rasa. Tambah mana yang terkurang terutamanya garam.
  13. Siap! Nasi goreng cina anda sedia untuk dihidang.

Resepi ini tidak menggunakan perencah seperti jenama Adabi, Seri Aji dan lain-lain. Jika anda ingin menggunakan perencah nasi goreng, anda tidak perlu sediakan bahan kisar kerana semuanya telah dimasukkan dalam rencah tersebut. Anda cuma perlu masukkan lauk dan sayuran sahaja. Lebih mudah sebenarnya namun ada sesetengah orang lebih suka memasak secara ‘manual’ kerana ianya mungkin pilihan yang lebih sihat, tambahan lagi anda boleh sesuaikan dengan citarasa sendiri.

Baiklah, setakat ini sahaja perkongsian saya dan saya ucapkan selamat mencuba. Kalau sedap boleh share. Semoga hidangan segera ini bermanfaat buat semua.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: