Langgan newsletter kami!
Prayer Beads Tasbih Selawat

Kelebihan Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW

Sebagai umat Islam, banyak kelebihan yang diperolehi jika kita berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ini kerana kita sangat memerlukan syafaat apabila dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Tiada seorang manusia pun yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali Nabi Muhammad SAW.

Bacaan selawat (rumi) adalah seperti di bawah:

Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala aali Muhammad

Maksud: Ya Allah berilah rahmat dan kesejahteraan kepada junjungan kita Nabi Muhammad dan keluarga Muhammad

Syafaat bermaksud memohon pertolongan untuk memasuki syurga Allah SWT. Ada beberapa syafaat yang boleh diperoleh manusia dan salah satunya adalah syafaat daripada Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” Rasulullah SAW juga berpesan bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga.”
(Surah al-Mudatthir, ayat 48)

Sekiranya setiap dosa anak Adam itu terzahir dengan hitamnya wajah, sudah pasti wajah kita akan bertambah hitam setiap masa kerana dosa yang dilakukan. Bagaimanapun, Allah SWT sentiasa menutup keaiban dan dosa yang dilakukan hamba-Nya dan memerintahkan manusia sentiasa bertaubat.

Di Padang Mahsyar nanti keadaannya amat dahsyat apabila seluruh manusia akan duduk dalam keadaan bersesak-sesak, berdiri dalam keadaan telanjang dengan matahari terpacak tegak di atas kepala. Ketika itu, semua merayu pertolongan daripada Allah SWT. Bagaimana hendak mendapatkan syafaat agung itu?

Antaranya, kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda. Hanya selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sahaja Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya yang Dia lakukan dahulu sebelum memerintahkan manusia melakukannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(Surah al-Ahzaab, ayat 56)

Begitulah hebatnya amalan berselawat. Jasa yang cukup besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya adalah Baginda menyebabkan kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam. Jika mati dalam keadaan tiada iman dan Islam, kita akan kekal tinggal di dalam neraka buat selama-lamanya.

Selawat 20 Kali Sehari

Bagi mendapatkan jaminan syafaat daripada Nabi SAW, berselawatlah sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada petang.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)

Bagi menjadikannya rutin, berselawatlah sebelum membaca doa selepas solat Subuh dan Asar.

Selawat paling utama diucapkan adalah selawat Ibrahimiyah. Apakah Selawat Ibrahimiyah? Ia adalah selawat yang dibaca pada separuh kedua dalam bacaan tahiyat akhir dalam solat. Selawat itu menggabungkan dua ucapan salam ke atas Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim iaitu:

Selawat Ibrahimiyyah

Selawat 1000 Kali

42 Kelebihan Selawat

Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW itu mempunyai empat puluh dua kelebihan. Hal ini tertulis di dalam kitabnya ‘Hadaiq al-Anwar’ iaitu:

  1. Melaksanakan perintah Allah
  2. Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah SAW
  3. Bersamaan dengan selawat para malaikat
  4. Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat)
  5. Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat
  6. Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat
  7. Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat
  8. Segala doa akan diperkenankan oleh Allah
  9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW
  10. Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban
  11. Allah akan menutupi segala dukacita
  12. Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah SAW
  13. Mendapat darjat al-Sidq
  14. Ditunaikan segala hajat
  15. Salam sejahtera pada hari kiamat
  16. Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat
  17. Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga
  18. Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat
  19. Rasulullah SAW akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan
  20. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa
  21. Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu
  22. Tidak akan merasai fakir
  23. Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil
  24. Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah SAW kepada yang berselawat
  25. Selawat akan menjemput setiap pengucapnya ke jalan syurga
  26. Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha
  27. Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
  28. Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat
  29. Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak
  30. Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah
  31. Mendapat keberkatan daripada Allah
  32. Mendapat kesempurnaan iman
  33. Kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW
  34. Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah
  35. Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah SAW secara langsung
  36. Teguh pendirian dengan kebenaran
  37. Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah SAW ke atas diri kita. Di samping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita
  38. Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah
  39. Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah SAW dan kepada diri sendiri
  40. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah SAW di dalam jiwanya
  41. Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi
  42. Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup di dunia dan akhirat.

Rujukan: hmetro, shafiqolbu, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This will close in 105 seconds

error: